Penggodam Indonesia lancar serangan siber terhadap Msia

Pertelingkahan antara Malaysia dan Indonesia berhubung isu konsesi minyak dan gas di Laut Sulawesi kini beralih ke alam siber apabila para pengodam republik menceroboh lamanweb di Malaysia.

Lamanweb kerajaan menjadi sasaran utama mereka, tiga hari selepas rakyat republik itu mengadakan demonstrasi membantah tindakan Malaysia memberi konsesi minyak dan gas kepada syarikat Shell bulan lalu di kawasan berhampiran kepulauan Borneo yang turut dituntut oleh republik itu.

Antara yang diceroboh ialah lamanweb Pejabat Sultan Perak di mana pelawatnya dialu-alukan dengan perkataan "Indonesia" dengan latarbelakang warna merah-putih, serta 'amaran' bahawa Indonesia bersatu dan jangan diganggu tanahair mereka.

Lamanweb Jabatan Kerjaraya Malaysia juga diceroboh tetapi ianya dipulih tidak lama kemudiannya.

Senarai sasaran

Sasaran lain sejak beberapa hari lalu ialah lamanweb Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Multimedia, Jabatan Perkhidmatan Haiwan Perak dan Jabatan Kerjaraya.

Turut diceroboh ialah lamanweb Suhakam, Majlis Produktiviti Negara, Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu di Malaysia, Persatuan Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia dan Yayasan Perkhidmatan & Maklumat Islam.

Adalah dipercayai, sesetengah penggodam terbabit telah mengeluarkan senarai nama lamanweb yang menjadi sasaran mereka, sebahagian besarnya berkaitan dengan kerajaan Malaysia.

Malaysia dan Indonesia sama-sama menuntut kawasan sempadan Laut Sulawesi yang kaya dengan minyak dan gas.

Sejak Pertonas memberi konsesi minyak kepada syarikat Shell bulan lalu, kawasan tersebut menjadi tumpuan kapal perang dan jet pejuang tentera kedua-dua negara.

Menteri luar kedua-dua negara dijadualkan mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai pertikaian tersebut lewat hari ini.

- AFP

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.