Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peserta 'Sea Felda' disasar terima RM5,000 sebulan

Kerajaan menyasarkan peserta Projek Akuapolitan Kuala Nerus dekat Kuala Nerus yang dilancarkan hari ini menerima pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi projek bersepadu itu ia dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup nelayan yang selama ini dibelenggu kemiskinan ekoran kekurangan hasil laut dan masalah permainan harga orang tengah.

"Ia merupakan projek perintis dikenali sebagai 'Sea Felda' iaitu yang mirip dengan skim Felda tetapi disesuaikan dengan masyarakat nelayan.

"Ini merupakan sejarah baharu kerana projek ini merupakan idea baharu yang belum pernah diadakan di mana-mana tempat atau negara lain," katanya pada majlis pelancaran projek itu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Muara Utara, hujung Tanjung, Kampung Seberang Takir, dekat Kuala Nerus Isnin.

 

 

 

 

Turut hadir, Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Zubir Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Projek ini dibangunkan dengan kerjasama antara ECERDC, kerajaan Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ia akan mewujudkan satu ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran-restoran.

Projek ini akan dimulakan dengan penyertaan sebanyak 400 orang nelayan bersama anggota keluarga mereka.

Najib dalam pada itu berkata projek berkenaan akan membawa transformasi besar kepada kawasan berkenaan di mana kerajaan telah membuat pelaburan berjumlah RM400 juta bagi mengubah nasib nelayan di kawasan itu.

Dalam pada itu Najib menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO begitu komited dalam membantu rakyat negara ini khususnya yang berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya kerajaan tidak memerlukan 'Deklarasi Rakyat' untuk mengubah nasib rakyat tetapi memerlukan sokongan padu rakyat dan suasana politik yang stabil agar projek yang boleh membawa manfaat kepada kehidupan dan masa depan rakyat negara ini dilaksanakan dengan lebih banyak lagi.

"Sebab itu kita tidak gusar untuk mencuba idea-idea baharu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat kerana hasrat kita untuk melihat projek demi projek yang dijalankan mampu mengubah nasib rakyat dan keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata rakyat jangan memandang rendah kejayaan yang dikecapi hari ini kerana ia tidak dicapai dengan mudah melainkan negara ini mempunyai politik yang stabil serta kewangan yang kukuh untuk melaksanakan pelbagai program untuk rakyat.

"Kejayaan ini adalah disebabkan politik stabil. Kalau kita kucar kacir macam telur di hujung ujung tanduk kita tak dapat buat projek ini...kita dapat buat sebab kewangan kita kukuh walaupun harga minyak jatuh merudum dan inilah kelebihan kita.

"Jangan pandang mudah kerana apa yang kita kecapi ini bukan secara kebetulan tetapi dirancang berdasarkan pelan yang rapi dan sistem pentadbiran yang berkesan," katanya.

Najib berkata sebelum ini kerajaan BN telah membuktikan kejayaan menerusi pembukaan ladang-ladang oleh Felda yang sehingga kini berjaya melahirkan generasi dan pemimpin yang berjaya di peringkat antarabangsa.

"Ada yang kata mudah (membuka Felda), tapi banyak negara telah mencuba termasuk negara-negara di Afrika namun sehingga kini tiada bayang rumah 'Felda' yang dapat dibina oleh mereka seperti yang berjaya kita lakukan di negara ini. Ini bukti kerajaan BN dah buat sesuatu yang orang lain gagal lakukan," katanya.

Sementara itu Ahmad Razif ketika berucap pada majlis itu mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana prihatin terhadap nasib penarik beca dan pengusaha bot penambang di negeri ini.

Katanya Najib telah menyatakan kesediaan membantu 22 penarik beca dan 20 pengusaha bot penambang di sini dengan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM466,000.

Katanya walaupun beca mereka telah uzur dan pengusahanya kurang bertenaga namun mereka masih komited untuk mempromosikan dan memelihara martabat Terengganu.

"Peruntukan sebanyak RM 66,000 telah diluluskan bagi membaik pulih beca dan RM400,000 bagi pengusaha bot penambang. Ini membuktikan golongan ini tidak pernah tersisih dalam pembangunan yang dilaksanakan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS