Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah NUS: 'Arabisasi' beri masalah di segi budaya Melayu

Pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Dr Syed Farid Al-Attas berpandangan bahawa budaya Arab atau arabisasi yang diambil oleh masyarakat Melayu hari ini akan mengakibatkan masalah dari segi budaya orang Melayu.

Katanya, masalah yang dihadapi apabila orang Melayu sendiri mengetepikan budaya mereka dengan memakai jubah dan berkopiah sekaligus menolak pakaian Melayu.

"Orang Melayu berjubah, berkopiah putih dan pakaian Melayu diketepikan. Masalah ini juga akan mengenepikan budaya Malayu dan Bahasa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel di Forum 'Arabisasi dari mana' di MCCHR Pusat Rakyat, Pantai Business Park, Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun katanya perkara itu tidak mendatangkan masalah dari segi agama Islam.

Dalam forum lebih dua jam itu menampilkan panelis seperti Syed Farid, aktivis Datin Seri Marina Mahathir dan penulis Eddin Khoo.

Sementara itu Marina pula mempersoalkan apakah tanggapan masyarakat Melayu sekiranya mengambil budaya dari masyarakat lain.

"Sebab memang kebiasaan manusia kalau kita nak tunjuk kebudayaan kita kepada orang lain, kita akan ikut orang yang lebih baik.

"Tapi pada masa yang sama kita menganggap kebudayaan kita itu terkebelakang... Ini menjadi masalah sebab kalau kita ambil aspek-aspek Arab, adakah kita anggap budaya kita ini tak sama taraf?," soalnya kepada 100 hadirin yang hadir.

Lihat Komen
ADS