Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah transit: Wakil rakyat PAS salahkan pusat
Diterbitkan:  May 24, 2016 11:47 AM
Dikemaskini: 4:45 AM

Wakil rakyat PAS berkata kelewatan projek Rumah Kekal Baharu di bawah kerajaan pusat menyebabkan masih ada mangsa banjir tinggal di rumah transit.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mangsa banjir yang tiada lot sendiri terpaksa menumpang di rumah transit termasuk di Kuala Krai dan Gua Musang.

ADUN Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman berkata projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat di beberapa penempatan di Kuala Krai misalnya baru sahaja bermula.

Sedangkan katanya, penempatan baharu di bawah kerajaan negeri sudah lama diduduki termasuk di Telekong dan Kampung Manek Urai.

"Kelewatan projek dimulakan menyebabkan masih ada mangsa banjir yang tidak mempunyai lot sendiri terpaksa menumpang di rumah transit sehingga sekarang," katanya dilapor Harakahdaily.

Antara projek tersebut termasuk di tanah milik agensi kerajaan pusat di Sungai Durian dan Kuala Nal, Kuala Krai.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir kurang memuaskan.

Laporan itu menyebut sebanyak 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah itu masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood memberitahu rumah yang sepatutnya dibina kerajaan pusat sebanyak 1,036 unit dan kerajaan negri 635 unit.

Jumlah keseluruhan rumah yang rosak sepenuhnya akibat banjir besar pada 2014 adalah sebanyak 1,671 buah setelah penapisan beberapa kali.

Abdul Latif berkata, ada mangsa banjir yang mendapat khemah baharu atau tinggal di rumah transit masih belum meroboh khemah mereka.

"Ada juga yang mahu menagih simpati daripada pelawat luar yang datang. Jadi laporan Ketua Audit Negara masih ada khemah mangsa banjir tidak tepat.

"Di Kuala Kri tidak ada yang tinggal di bawah khemah sebagaimana disebut dalam laporan tersebut," katanya dipetik berkata.

Lihat Komen
ADS