Paling Popular
Terkini

Parti Amanah Negara (AMANAH) sekali lagi mengulangi pendirian mereka untuk bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, walaupun sebelum ini PKR didakwa ingin meletakkan calon mereka di Sungai Besar namun parti tersebut tidak boleh menghalang mereka untuk bertanding di kerusi tersebut.

"Persefahamannya ialah PKR akan bertanding sekiranya PAS menarik diri. Tetapi PAS masih bertegas untuk bertanding, jadi AMANAH yang akan bertanding," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

 Selain itu, anggota parlimen Shah Alam itu juga memberitahu, pihaknya turut akan memastikan tiada pertindihan kerusi antara parti dalam Pakatan Harapan.

Malah Khalid juga berkata, AMANAH ingin bertanding di dua kerusi tersebut untuk memastikan tiada 'pergaduhan' antara PKR dan PAS dalam merebut kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Kita akan berbincang bagi memastikan tiada pertindihan antara parti dalam Pakatan Harapan.

"Bagi kita dalam AMANAH, berilah kita bertanding kerana kita tidak mahu PKR-PAS bergaduh kerana ia akan merosakkan hubungan antara mereka dalam kerajaan negeri Selangor," katanya lagi.

Sebelum ini terdapat dakwaan PKR ingin meletakkan calonnya di Sungai Besar dan menggesa PAS tidak meletakkan calon di kerusi tersebut.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut didakwa mengeluarkan kenyataan supaya exco PAS meletakkan jawatan sekiranya mereka bertanding.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Azmin.

Lihat Komen
ADS