Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serah bukti 'wang, seks' pada SPRM, bukan parti
Diterbitkan:  May 24, 2016 3:52 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Sebuah portal pro-Umno hari ini mempersoalkan rasional di sebalik keputusan Rafizi Ramli mengemukakan bukti berhubung dakwaan wang dan wanita dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bukannya kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kenapa mesti nak bawa jumpa presiden parti dulu?

“Adakah kalau presiden parti kata tak perlu lapor maka kesalahan tidak berlaku tapi kalau sebaliknya, kesalahan telah berlaku?” soal Mykmu.net.

Sambil menuntut penjelasan, portal itu berkata presiden sebuah parti politik tidak harus mempunyai kata putus sama ada perkara yang membabitkan rasuah perlu dilaporkan atau sebaliknya.

“Lebih lagi bila yang didakwa terlibat adalah kerajaan negeri, bukan semua rakyat dalam negeri itu adalah ahli parti pun sehingga kepentingan mereka sebagai rakyat negeri nak diketepikan dan ahli parti politik ambil alih,” katanya.

Tambahan pula, portal itu berkata PKR perlu tahu lebih baik kerana parti itu penuh dengan peguam.

Mykmu turut melahirkan kebimbangan sekiranya Wan Azizah membuat keputusan untuk tidak membuat laporan kepada SPRM.

Menurutnya, sekalipun agensi seperti SPRM boleh mengambil tindakan tanpa perlu menunggu laporan rasmi, kerjasama dari mereka yang terlibat adalah penting.  

“Bagaimana nak lengkap siasatan kalau takde kerjasama diberikan, tak cerita mahkamah lagi?” petik laporan itu.

Berdasarkan ini, portal itu percaya bahawa dakwaan berkenaan bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada beberapa isu lain.

Walaupun yakin bahawa dakwaan itu adalah benar, Mykmu bagaimanapun mempersoalkan motif dalam mendedahkan perkara itu sekarang.

“Penulis yakin penyelewengan yang dikatakan itu berlaku, itu tiada keraguan, yang ragu ni ialah orang yang mendedahkan tu dan motif ia didedahkan sekarang.

“Dua elemen (si pendedah dan motif) ini pun dah cukup buat drama bersiri dah,” katanya.

Rafizi yang juga adalah setiausaha agung PKR, dijangka menghantar bukti-bukti berkenaan menerusi e-mel kepada Wan Azizah sebelum memutuskan sama ada laporan perlu difailkan dengan SPRM.

Isu itu pertama kali didedahkan melalui perbualan Whatsapp yang bocor apabila Rafizi mendakwa menerima aduan tentang tuntutan habuan wang dan wanita ketika rundingan dengan kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, bagaimanapun, menolak dakwaan berkenaan  sebagai sebahagian daripada "kempen memburuk-burukkannya secara sistematik".

Lihat Komen
ADS