Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan 3,527 pekerja asing 'unfit' tidak benar - KDN
Diterbitkan:  May 24, 2016 4:36 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyangkal laporan 3,527 pekerja asing dengan rekod kesihatan berstatus ‘unfit' atau tidak layak berkerja kerana penyakit berjangkit seperti batuk kering atau Tibi.

Sebaliknya, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim menjelaskan pekerja asing dikategorikan tidak layak tetapi diberikan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kerana ia melibatkan penyakit tidak berjangkit.

“Kita memang tidak membenarkan pekerja asing yang dijangkiti penyakit berjangkit seperti Tibi memasuki Malaysia kerana ini akan mengundang risiko.

"Namun, hanya penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi dibenarkan setelah majikan membuat rayuan. Selain itu, kes-kes itu mendapat laporan kesihatan kedua dari klinik atau hospital,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Ketua Setiausaha Negara (KSN) Bersama Media Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 di sini, hari ini.

Alwi berkata jawatankuasa khas di Jabatan Imigresen akan menilai dan membuat pertimbangan bagi setiap kes berkenaan.

“Selain itu, majikan juga diminta menulis surat dan menyatakan mereka akan bertanggungjawab sekiranya timbul masalah pada masa akan datang,” katanya.

Alwi berkata kes-kes itu biasanya melibatkan pembantu rumah yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun dan dikategorikan ‘tidak layak’ kerana penyakit tidak berjangkit.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2015 Siri 1 mendapati pada 2014, seramai 3,527 daripada 699,018 pekerja asing di Semenanjung Malaysia diberikan pas lawatan kerja sementara (PLKS) walaupun rekod kesihatan berstatus 'unfit'.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Pelajaran Kementerian Pendidikan, Datuk Azmi Lateh berkata 19 syarikat kawalan keselamatan yang gagal memenuhi perjanjian dan perkhidmatan telah ditamatkan perkhidmatan dari tahun lepas sehingga Mei ini.

"Kita akan bekerjasama dengan KDN untuk terus memantau syarikat-syarikat kawalan keselamatan di sekolah-sekolah," kataya ketika menjawab soalan pada sesi itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS