Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri tak tahu menahu Rusia intai aset Petronas

Timbalan Menteri Kewangan Chua Tee Yong tidak tahu menahu berkaitan minat syarikat Rusia Zarubezhneft untuk membeli aset Petronas.

Katanya, soalan berkaitan sepatutnya ditanya langsung kepada Petronas.

“Saya betul-betul tidak tahu berkaitan perkara ini,” kata Chua yang juga anggota parlimen Labis.

Beliau memberitahu pemberita ketika ditemui di bangunan parlimen hari ini.

Chua (gambar) juga berkata, menjadi amalan perbendaharaan juga untuk tidak mengesahkan laporan berita.

“Ia mungkin perbincangan yang sedang berjalan. Kita tidak tahu dengan terperinci.

“Mungkin juga tiada jualan sama sekali. Saya tidak fikir kita patut buat spekulasi,” katanya.

Pegangan terbesar dalam Petronas dimiliki oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Memetik Menteri Tenaga Rusia, Alexander Novak, agensi berita Rusia Tass pada Jumaat lalu melaporkan Zarubezhneft mungkin membeli aset Petronas.

Menurut Novak, Rusia juga sedang meningkatkan produk minyak dan minyak di rantau Asia Pasifik dan sedang mengkaji peluang melaksanakan projek-projek di Malaysia

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Rusia di Sochi pada 20 Mei yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Petronas pada Mac lalu berkata akan mengurangkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dalam usaha mengurangkan kosnya di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Petronas melaporkan keuntungan sebelum cukainya menurun 53 peratus kepada RM36 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2015.

Malaysiakini telah menghubungi Petronas untuk mendapatkan komen.

Lihat Komen
ADS