Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sg Besar ujian untuk Azmin ganti Anwar - Zaid
Diterbitkan:  May 24, 2016 6:19 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin boleh menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin de facto pembangkang jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang di Sungai Besar pada pilihan raya kecil 18 Jun ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah menyertai barisan pimpinan PKR berkata, itupun jika Azmin membuat keputusan yang betul dengan membenarkan Parti Amanah Negara (AMANAH) bertanding di kerusi parlimen itu.

"Jika beliau - bersama-sama DAP - boleh memastikan kemenangan AMANAH, hanya selepas itu Azmin akan muncul sebagai ketua pembangkang yang baru dalam HARAPAN, menggantikan tempat Anwar.

"Selepas itu, walau tindakan oleh beberapa ahli PKR untuk menolak Azmin juga tidak akan berjaya," tambah beliau, sambil menjelaskan timbalan presiden parti itu boleh memperkukuhkan kedudukannya.

Menurut Zaid lagi, jika HARAPAN menang dalam pilihan raya kecil itu, AMANAH dan DAP akan menghargai sumbangan Azmin.

PKR sedang berdepan dua isu utama - surat kritikan dari Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun serta dakwaan habuan wang dan perempuan oleh PKR ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Azmin telah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai kempen fitnah sementara Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menegaskan untuk menyerahkan segala bukti yang ada berhubung dakwaan tersebut kepada presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada masa ini, spekulasi sedang bertiup kencang mengenai kemungkinan Rafizi akan menerima padah akibat pendedahan itu dengan risiko kehilangan jawatannya dalam parti berkenaan.

Difahamkan, PKR akan mengadakan mesyuarat biro politiknya malam ini yang akan, antaranya, menentukan nasib Rafizi dengan kebanyakannya yang dijangka hadir adalah pimpinan yang berpihak kepada Azmin.

Sementara itu, Zaid turut menyifatkan pilihan raya itu sebagai ujian bagi mengukur kekuatan AMANAH dan PAS.

"Pertandingan ini akan menjadi buah mulut, terutama jika Azmin memberikan sokongan kepada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada sokongan kepada PAS.

"Adalah jelas bahawa DAP akan memberi sokongan pada kepada Mat Sabu," ujar beliau.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka turun berkempen, katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS