Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN mahu Mat Sabu masuk gelanggang buktikan kekuatan AMANAH
Diterbitkan:  May 24, 2016 7:02 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Ahli parlimen BN menyambut baik cadangan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu untuk bertanding pada pilihan raya kecil parlimen di Sungai Besar.

Kedua-dua Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali percaya bahawa pertandingan itu akan menjadi bukti untuk mempamerkan kekuatan parti serpihan PAS yang baru ditubuhkan.

“Kalau benar Mat Sabu nak masuk ke gelanggang, saya persilakan.

“Setidaknya AMANAH dan PAS boleh buktikan siapa lagi mempunyai pengaruh dan kredibiliti yang lebih kuat, khususnya di Sungai Besar,” kata Irmohizam kepada portal Kelab Penyokong BN.

Bagaimanapun, beliau yakin bahawa tidak kira siapa yang mewakili pembangkang bagi kerusi itu, ini tidak akan menjejaskan peluang BN.

Semalam, AMANAH mendedahkan bahawa parti itu telah menyenarai pendek presidennya,  Mohamad Sabu, yang dikenali sebagai Mat Sabu; timbalan presiden Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin bagi kerusi parlimen di Selangor.

AMANAH terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan ditubuhkan selepas tumbangnya blok pembangkang Pakatan Rakyat.

AMANAH sekarang menaggotai pakatan pembangkang yang dijenamakan semula dan dikenali sebagai Pakatan Harapan, yang turut disertai oleh PKR dan DAP.

Sementara itu, Noor Azmi percaya bahawa cadangan supaya Mat Sabu bertanding di kerusi parlimen Sungai Besar sebagai sangat bertepatan dan sangat dialukan.

Beliau berkata ini peluang terbaik bagi presiden AMANAH itu untuk mempamerkan kekuatannya berikutan aksi buruk pada pilihan raya Sarawak baru-baru ini.

“Kalau AMANAH bertanding, dia (Mat Sabu) sendiri patut bertanding, tengok kekuatan sebenar parti.

“Inilah masanya dia nak membuktikan dia betul-betul berani dan yakin dengan parti dia, kalau tidak lebih baik dia tarik diri dan jangan bagi orang lain masuk terus sebab dia dikatakan paling dominan dalam parti itu,” kata Dr Noor Azmi ketika ditemui di lobi parlimen.

PKR telah mengadakan perbincangan dengan PAS dengan harapan untuk mendapatkan keputusan satu lawan satu dengan BN di kedua-dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18 Jun.

Ini berikutan kebimbangan bahawa pertandingan tiga penjuru akan memecahkan sokongan dengan undi memihak kepada parti pemerintah.

PAS, bagaimanapun enggan berganjak dari kedua-dua kerusi berkenaan susulan ia begitu hampir memenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Semalam, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menggesa PKR tidak membuang masa berunding dengan PAS, dan menyampaikan kesediaan parti itu untuk bertanding di kedua-dua kerusi.

 

Lihat Komen
ADS