Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
244 rumah rosak dilanda ribut di Perlis
Diterbitkan:  May 25, 2016 5:43 AM
Dikemaskini: May 25, 2016 2:02 AM

Sebanyak 244 buah rumah rosak teruk akibat hujan ribut yang melanda kebanyakan kawasan di Perlis selama hampir tiga jam bermula 1.30 petang semalam.

Jurucakap bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, jumlah tersebut yang direkodkan setakat jam 9.30 malam tadi dijangka meningkat.

Dianggarkan 1,000 penduduk terjejas akibat bencana itu.

JKM sedang mengumpul data dan jumlah tersebut hanya berkaitan bilangan rumah yang terlibat ribut sahaja, katanya ketika dihubungi Bernama.

Pasukan siasatan JKM, tambahnya, sedang bekerja keras untuk menentukan jumlah sebenar yang terlibat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Perlis Mohd Rizuan Abd Ghani memaklumkan, 82 kes kerosakan telah diterima.

Katanya, anggota operasi melaksanakan kerja pembersihan sejak petang semalam dan kes akan ditangani mengikut keutamaan berdasarkan tahap risiko, misalnya yang melibatkan nyawa dan harta benda.

Hujan berserta angin kencang berlaku bermula 1.30 petang itu mulai reda pada jam 4.30 petang.

Bencana itu menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang melibatkan pelbagai kerosakan harta benda dan premis awam termasuk hospital, sekolah dan gerai jualan.

Antara kawasan terjejas ialah di Kangar, Jejawi, Behor Mali, Kampung Bakong, Santan, Kok Kelang, Ulu Pauh, Abi dan Sungai Batu Pahat.

Kemudahan sukan rosak

Sementara itu, hujan ribut kencang yang melanda Perlis hampir tiga jam petang semalam merosakkan sebahagian besar kemudahan sukan di Stadium Tuanku Syed Putra termasuk papan skor elektronik di kolam renang.

Hujan ribut itu turut merosakkan khemah-khemah di perkarangan stadium sempena Karnival Usahawan Perlis 2016 (KUP 2016) bermula hari ini sehingga 29 Mei.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSN) Saiful Rizal Mohd Sukri berkata papan elektronik tersebut berharga lebih RM1 juta dipasang untuk Sukan Malaysia Perlis 2014.

"Papan elektronik itu tumbang mengenai kolam akuatik menyebabkan tebing kolam pecah manakala kanvas di kolam renang koyak selain bumbung bangunan majlis itu," katanya kepada Bernama.

Saiful Rizal berkata pihaknya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat penilaian kerosakan secepat mungkin untuk memohon peruntukan membaik pulih.

Tinjauan Bernama di kawasan stadium mendapati hampir keseluruhan dari kira-kira 300 khemah KUP 2016 di perkarangan stadium diterbangkan. .

- Bernama

Lihat Komen
ADS