Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AirAsia X kembali raih keuntungan
Diterbitkan:  May 25, 2016 6:37 AM
Dikemaskini: 10:40 PM

AirAsia X Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM218.52 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2016 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM117.28 juta tahun lepas.

Perolehan melonjak kepada RM970.67 juta daripada RM775.37 juta, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jumlah penumpang dan pertumbuhan dalam purata tambang asas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Kamarudin Meranun berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu telah memulakan pelbagai inisiatif bagi mengukuhkan asas yang melibatkan kecairan tunai, melaksanakan struktur kos yang lebih berdisiplin dan menggunakan rangkaian disatukan untuk pertumbuhan pendapatan.

"Inisiatif ini telah menghasilkan peningkatan dalam operasi teras kami.

"Pada suku pertama 2016, pasaran China menyumbang pertumbuhan tertinggi kepada operasi Malaysia AirAsia X. Perolehan dari China melonjak 49 peratus berbanding tahun ke tahun disebabkan oleh jumlah pergerakan penumpang yang meningkat manakala tambang asas naik 54 peratus berbanding tahun ke tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu mengunjur trend positif ini akan berterusan sepanjang tahun dengan pelaksanaan program pengecualian visa bagi pelancong China yang melawat Malaysia.

Thai AirAsia X juga mencatatkan jumlah muatan yang tinggi pada 88 peratus bagi laluan Bangkok-Shanghai dan baru-baru ini menambah laluan Bangkok-Shenyang kepada rangkaiannya yang semakin berkembang pada April.

AirAsia X berhasrat untuk mengukuhkan kehadirannya di China dengan lebih banyak laluan baru dari Malaysia dan Thailand pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata bagi masa depan, kumpulan kekal fokus meneroka insiatif strategik untuk mengekalkan momentum pendapatan bagi pertumbuhan berterusan di Malaysia dan Thailand di samping menilai semula operasinya di Indonesia.

Persekitaran industri yang mencabar dijangka berterusan dengan ketidaktentuan dalam mata wang, kawal selia dan isu luar negara yang lain.

"Kami telah melindung nilai 100 peratus daripada keperluan bahan api syarikat bagi baki suku tahun 2016 pada purata harga bahan api jet sebanyak US$54 setong bagi laluan sedia ada yang dirancang.

"Ini secara langsung akan membolehkan kami mengurangkan kesan turun naik kos bahan api dan menguruskan kos dengan lebih baik di samping meneroka laluan baru," katanya.

Pada suku pertama 2016, perbelanjaan bahan api syarikat dikurangkan 11 peratus berikutan harga bahan api lebih rendah, yang membantu mengurangkan kos tempat duduk setiap kilometer dengan lapan peratus bagi perbandingan tahun ke tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS