Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak kacau rumah tangga orang lain - Idris Ahmad
Diterbitkan:  May 25, 2016 11:53 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Penangguhan berterusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi membincangkan isu berkaitan pilihan raya kecil parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PAS.

Naib presidennya, Idris Ahmad berkata masalah yang berlaku di dalam Pakatan Harapan tidak boleh dikaitkan dengan PAS.

“Apa pasal ada kena mengena dengan kami pula? Masalah bergaduh isteri orang dengan suami orang takkan jiran sebelah nak tentukan cerai atau tidak.

“Itu rumah tangga orang. Kami tidak campur dengan rumah tangga orang,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Semalam, Pakatan Harapan buat kali kedua menagguhkan mesyuarat majlis presidennya.

Penangguhan tersebut dikatakan berpunca daripada PAS yang gagal memberi maklum balas bagi membincangkan mengenai calon pembangkang yang akan mewakili di kedua-dua kerusi berkenaan.

Kerusi parlimen Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang adalah juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mahu semua parti politik berlapang dada dalam membuat keputusan berhubung calon pembangkang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Katanya, PAS tetap dengan keputusan mereka walaupun parti itu bergelut dengan kontroversi melibatkan Pakatan Harapan.

“Saya sendiri hanya ikut apa sahaja keputusan pusat,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Jelasnya, kemenangan di kedua-dua parlimen berkenaan tidak memberikan impak yang besar namun akan dianggap sebagai kelebihan.

“Saya harap rakyat dapat melihat secara fizikal dengan sistem pentadbiran yang banyak berlaku ketirisan, penyalahgunaan kewangan diuar-uarkan sememangnya berlaku.

“Setakat ini pun tidak ada penafian yang boleh meyakinkan masyarakat. Jadi elok rakyat faham apa yang berlaku supaya pilihan raya ini menjadi titik tolak atas kesedaran masyarakat dengan aktiviti kepimpinan yang akhirnya beri impak tidak baik kepada masyarakat,” katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS