Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Selangor beri Rafizi 5 hari sahaja atau...
Diterbitkan:  May 25, 2016 12:32 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Umno Selangor memberi masa selama lima hari kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis berhubung dakwaan habuan wang dan perempuan ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Jika Rafizi gagal untuk berbuat demikian dalam tempoh tersebut, Ketua Penerangan Umno Selangor, Zein Isma berkata, pihaknya akan membuat laporan polis mengenai kebocoran perbualan dalam Whatsapp yang menbawa kepada pengetahuan umum mengenai dakwaan tersebut.

“Kami berikan Rafizi tempoh lima hari untuk membuat laporan polis berhubung dakwaanya tentang perlakuan rasuah dan seks yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Sekiranya beliau gagal, maka kita akan membuat laporan polis meminta kenyataan beliau disiasat di bawah akta 212 Kanun Keseksaan kerana melindungi individu yang melakukan perbuatan jenayah," kata beliau kepada Umno Online.

PKR telah mengarahkan Rafizi untuk menyerahkan bukti berkaitan dakwaan rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor kepada SPRM, dalam keputusan yang dibuat oleh mesyuarat biro politik parti itu, malam tadi.

“Biro politik telah membuat ketetapan bahawa Saudara Rafizi Ramli perlu membawa bukti-bukti yang ada pada beliau terus ke pihak SPRM,” demikian kata presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Sementara itu, ditanya desas-desus Rafizi akan ditukar sebagai setiausaha agung, Azizah berkata, ia tidak dibincangkan.

Mengulas lanjut, Zein menambah, Rafizi yang selalu melaung-laungkan perjuangan integriti harus bertindak sewajarnya dalam hal ini.

“Sepatutnya, Rafizi yang selama ini kononnya memperjuangkan intergriti mestilah melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa dan bukannya bertindak menafikan perkara itu seolah-olah beliau mahu melindungi individu yang dimaksudkan di dalam perbualannya itu,” tambah beliau.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Kamaruddin Ahmad menyatakan bahawa Rafizi perlu mengambil tanggungjawab melaporkan tuduhan salah laku tersebut sama ada kepada polis atau SPRM.

"Sekiranya Rafizi gagal berbuat demikian, beliau boleh didakwa dan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS