Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Yang tak sudi bantu, jangan pula susahkan
Diterbitkan:  May 25, 2016 3:11 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Di tengah-tengah kemelut perebutan kerusi pembangkang, PAS mengingatkan parti lain yang tidak sudi membantu mereka tidak pula mengambil pendekatan sebaliknya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap tiada sikap menyusahkan mereka, sekali gus memudahkan kerja BN di dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.

“Diharapkan pihak pembangkang yang tidak sudi membantu PAS, jangan mengambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja BN mencapai kemenangan di kedua-dua PRK ini,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai “pertempuran sengit antara BN dan PAS”.

Beliau percaya tiada pembangkang yang ingin melihat bagaimana perdana menteri dan pemimpin BN menjadikan kemenangan mereka dalam pilihan raya sebagai alasan penerimaan rakyat dalam isu kontroversi ini.

Ini termasuk, cukai barangan dan perkhidmatan dan kemasukan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi perdana menteri.

Selain PAS, serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) juga berminat bertanding kerusi itu, sekali gus menyebabkan pertembungan tiga penjuru yang menguntungkan BN.

Sementara itu, PAS juga membangkitkan berkaitan janji-janji pilihan raya yang akan ditabur oleh kerajaan BN dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya, dalam pilihan raya negeri Sarawak, hampir RM800 juta, meliputi 400 projek, janji pilihan raya dibuat.

“Dalam pilihan raya umum ke 13, kempen BN dikatakan dibantu menggunakan dana derma saudagar Arab.

“Dana siapa pula yang bakal digunakan untuk kedua-dua PRK kali ini? Dan dana mana pula yang digunakan ketika di PRN Sarawak?” soalnya.

Lihat Komen
ADS