Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dakwaan nelayan Filipina diberi layanan buruk tidak benar'
Diterbitkan:  May 25, 2016 3:23 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Panglima TLDM:

Dakwaan nelayan Filipina diberi layanan buruk ketika ditahan kerana menceroboh perairan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Gugusan Semarang Peninjau pada 9 Mei lalu, adalah tidak benar.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata satu siasatan telah diadakan bagi menyiasat perkara sebenar yang berlaku berhubung dakwaan tiga awak-awak dua bot nelayan negara itu.

"Sehingga kini, beberapa dakwaan nelayan tersebut didapati tidak benar. Bagaimanapun, siasatan lanjut secara menyeluruh dan teliti akan dilakukan TLDM.

"Tentera Laut Filipina juga telah sedia maklum tentang isu ini sebagai tanda perhubungan erat kedua-dua tentera laut (Malaysia dan Filipina)," katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas laporan disiarkan media Filipina, The Manila Times Isnin lalu.

Laporan itu menyebut tiga awak-awak berkenaan mendakwa digari, disepak dan ditumbuk oleh kru KD Laksamana Tun Abdul Jamil (KD LTAJ) yang menahan dua bot terbabit dan salah sebuah bot pula dikatakan ditenggelamkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarulzaman yakin kru KD LTAJ melaksanakan pemeriksaan dengan mematuhi perundangan negara melalui Akta Perikanan 1985 dan Akta ZEE 1984.

Tindakan penguatkuasaan Akta ZEE di perairan itu adalah wajar diteruskan bagi mempertahankan hak kedaulatan negara, katanya.

"Aset TLDM juga sentiasa diingatkan agar menggunakan kaedah pemeriksaan terbaik dan berlandaskan undang-undang supaya ianya tidak akan dijadikan isu oleh mana-mana pihak," jelas beliau.

Dalam pada itu, TLDM juga mengesahkan penahanan dua bot nelayan Filipina terbabit terdiri daripada sebuah bot induk dan sebuah bot kecil untuk pemeriksaan dan diarahkan menyerahkan dokumen bagi tujuan itu.

"Bot induk ini telah memberikan respon dengan menghantar sebuah bot kecil yang dinaiki tiga awak-awak ke KD LTAJ.

"Dua daripada awak-awak itu telah naik ke kapal manakala pengendali bot kecil telah beredar dan terjun ke laut bagi mengelakkan diri daripada ditahan," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Kamarulzaman berkata pasukan menggeledah berjaya menahan pengendali bot terbabit dan membawanya ke KD LTAJ bersama bot dipandunya.

Beliau berkata setelah pemeriksaan dilakukan, tiga awak-awak itu dibenarkan kembali ke bot induk dan diarahkan keluar dari perairan ZEE negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS