Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen BN menyindir kontroversi 'wang dan wanita' di Selangor dengan mendakwa sikap membisu Pakatan Harapan mengenai isu itu telah menukar slogan Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) kepada 'meow'.

"Walaupun di negeri Selangor ini dianggap cekap, competent, CAT. Dulu CAT sekarang dah jadi meow. Ia mencakar," kata Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi).

Ehsanuddin mencelah rakannya Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang membahaskan Rang Undang-undang (Pindaan) Kanun Tanah Negara 2006 di Dewan Rakyat.

Beliau merujuk dakwaan mengenai perbualan Whatsapp yang bocor di mana Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa menerima aduan mengenai permintaan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri.

CAT adalah singkatan digunakan kerajaan Pulau Pinang. Di Selangor, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dibentuk bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik.

"Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja. Akhir-akhir ini berlaku di negeri dianggap negeri bersih," kata Che Mohamad.

"Saya hairan ini, kalau habuan wanita ini berlaku di sebelah kita (kerajaan), saya rasa akan ada bisik-bisik di sebelah sana (pembangkang).

"Bila di sebelah sana, tiga orang saja cakap. Yang lain diam, oh tak apa tak berlaku barang kali fitnah, persepsi saja," sindirnya.

Lihat Komen
ADS