Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sg Besar: Bolehkah PAS dapat undi Cina, tanya PERKASA

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali menjangkakan pertemuan antara PKR dan BN di pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dilihat lebih sengit dan menarik jika dibandingkan dengan parti politik pembangkang yang lain.

Kata beliau, sekiranya kerusi itu ditandingi PAS, beliau khuatir sekiranya undi masyarakat Cina di Sekinchan tidak memihak kepada parti Islam itu.

“Ia pertandingan yang bagus kalau PKR lawan BN. Masa pilihan raya umum ke-13 (PRU13), PAS masih bersama Pakatan Rakyat, PAS meletakkan calon PAS waktu itu dan pengundi-pengundi Cina yang tinggal di Sekinchan mengundi PAS.

"Tapi dalam pilihan raya kecil sekarang, adakah pengundi-pengunci Cina akan undi PAS.

“Saya percaya kalau PAS bertanding, PAS tak dapat undi Cina. PAS juga tak dapat sokongan ahli PAS yang sokong AMANAH.

“Ada ahli PAS yang tolak pimpinan ulama, PAS akan hilang dua punca undi. Jadi bukan sahaja penting untuk satu lawan satu tetapi mesti parti yang betul,” kata bekas ahli parlimen Pasir Mas itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat PERKASA di Kuala Lumpur, petang ini.

 Bagaimanapun, pendapatnya berbeza pula di PRK Parlimen Kuala Kangsar apabila beliau melihat PAS lebih sesuai meletakkan calon mereka di situ.

“Kalau di Kuala Kangsar kalau satu lawan satu PAS dengan BN dan parti-parti lain tak masuk ia akan jadi sangat menarik dan rakyat pun boleh buat pilihan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, sekiranya pembangkang masing-masing mahu meletakkan calon, ia hanya akan memberikan kelebihan kepada BN.

“Kalau pembangkang semua nak bertanding ia akan beri kelebihan kepada BN.

“Ingat tak kita bagaimana keputusan di PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding (satu lawan satu) walaupun by election tapi PKR menang besar,” katanya.

Lihat Komen
ADS