Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki bawa pistol dalam kereta Safee dihadap ke mahkamah
Diterbitkan:  May 25, 2016 4:10 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan memiliki senjata api dan peluru hidup secara tidak sah pada 15 Mei lepas.

Tertuduh, Shalihoddin Azman, 34, didakwa memiliki revolver Smith & Wesson 4 berserta sarung dan 30 peluru jenis 38 LRN Special Ball, di susur Lebuhraya Utara-Selatan Kempas di Johor Bahru kira-kira 12 tengah hari.

Shalihoddin didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan di bawah Seksyen 8(1) Akta Senjata 1960.

Ia masing-masing memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan, serta penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sewaktu pertuduhan dibacakan dan meminta untuk dibicarakan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan servis pistol daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Safiah Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Hazza Khalid.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh ditahan bersama sepucuk pistol dan peluru ketika memandu kereta jenis Ford Ranger milik pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Safee Sali.

Safee difahamkan menghantar kenderaannya itu ke kedai tempat tertuduh bekerja bagi diubah suai dan dijadual mengambilnya semula selepas tamat perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan PKNS FC pada 14 Mei lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS