Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi hanya dedah pada Azizah 'mana aci' - PERKASA

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sepatutnya mendedahkan dakwaan berkaitan 'rasuah wang dan wanita' dalam pentadbiran kerajaan Selangor tanpa perlu merujuk kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya Rafizi merupakan seorang pemberi maklumat sejati, beliau seharusnya mendedahkan hal itu terus kepada umum.

"Rafizi ini seorang 'champion whistleblower', tetapi sekarang ini dia tidak boleh hendak dedahkan apa maklumat yang diperolehnya.

"Kalau dia konsisten, Rafizi patut dedahkan salah laku itu tanpa perlu merujuk kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA petang tadi.

Katanya, sekiranya dilihat sikap Rafizi yang gemar melakukan pendedahan sebelum ini walaupun 'tanpa hujung pangkal', namun perkara sama tidak berlaku apabila melibatkan partinya sendiri.

"Dia hanya boleh dedahkan kepada presiden dia. Mana aci (adil) macam tu. Jika dia konsisten dan lelaki yang mempunyai integriti, dia patut dedahkan tanpa mengira mana-mana pihak termasuk partinya sendiri," katanya.

Ibrahim yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Tok Him berkata Rafizi perlu mencontohi prinsip yang dimiliki ahli-ahli parlimen di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

"Seorang pemimpin yang sejati dan berintegriti tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang dia sertai. Kita tengok di barat politik negara maju Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, mana-mana parti yang mereka sertai, tetapi bila pergi ke Parlimen, dia akan membuat keputusan berdasarkan pendiriannya sendiri.

"Malah, dia boleh bersetuju dengan parti atau tidak bersetuju dengan parti. Dia boleh bersetuju dengan ketua atau tidak, boleh undi menyokong atau menentang," katanya.

Dalam satu perbualan Whatsapp yang bocor baru-baru ini, Rafizi mendakwa mendapat aduan mengenai permintaan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan Selangor.

Beliau juga mahu membawa perkara itu kepada pengetahuan Wan Azizah selaku presiden PKR.

Dakwaan Rafizi bagaimanapun disangkal Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat semalam mengarahkan Rafizi menyerahkan bukti berkaitan dakwaannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lihat Komen
ADS