Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim: Terpulang Dr M nak kempen untuk pembangkang

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, terpulang kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya ingin berkempen untuk pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ia kerana, katanya Mahathir kini bebas dan tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Itu hak dia sebagai rakyat Malaysia lagipun dia bukan ahli mana-mana parti, jadi tak ada siapa yang dapat halang dia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat PERKASA.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, PERKASA sebagai sebuah NGO tidak akan melibatkan diri dalam kedua-dua PRK tersebut kerana tidak mahu diseret dengan isu-isu yang melibatkan parti-parti yang ingin bertanding.

Namun katanya ahli PERKASA bebas membuat pilihan dalam PRK kali ini tanpa membawa nama NGO itu.

“Ahli-ahli PERKASA bebas buat pendirian masing-masing. Kita ada ahli PERKASA di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Mereka bebas buat pilihan masing-masing dan buat pilihan yang betul sebab mereka tahu tapi tidak boleh berkempen atas nama PERKASA,” katanya.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata sekiranya ahli PERKASA inginkan ‘petunjuk’ siapa yang harus diundi, mereka boleh bertemu dengannya secara peribadi.

“Kalau ahli-ahli PERKASA mahu petunjuk, kita akan beri petunjuk senyap-senyap dan informal,” katanya.

Lihat Komen
ADS