Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah lanjutkan perintah penggantungan sementara EKVE
Diterbitkan:  May 25, 2016 6:21 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melanjutkan perintah penggantungan sementara kerja-kerja pembinaan dan pembalakan di Taman Rimba Ampang untuk projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
    
Peguam Kwan Will Sen, yang mewakili ketiga-tiga pertubuhan alam sekitar, memberitahu pemberita bahawa perintah itu dilanjutkan sehingga mahkamah mendengar permohonan kedua-dua pihak bagi perintah penggantungan kekal.
    
Beliau berkata mahkamah menetapkan 7 Jun ini untuk mendengar permohonan penggantungan kekal. Beliau berkata demikian selepas prosiding di dalam kamar Timbalan Pendaftar Kanan, Nor Hasniah Ab Razak.
    
"Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor tidak hadir,  bagaimanapun kami sudah menyerahkan dokumen (perintah penggantungan sementara yang dikeluarkan pada 11 Mei lepas) kepada mereka Isnin lepas," katanya.
    
Hadir sama Penasihat Undang-undang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Siti Aishah Salim.
    
Pada 11 Mei lepas, tiga pertubuhan itu berjaya memperoleh perintah penggantungan sementara daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah, terhadap kerja-kerja pembinaan dan pembalakan di kawasan  Taman Rimba Ampang.
    
Tiga pertubuhan itu ialah Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Treat Every  Environment Special Sdn Bhd dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) yang  merupakan pemohon pertama hingga ketiga. 
    
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, pertubuhan berkenaan menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan MPAJ sebagai responden pertama hingga ketiga.
    
Permohonan semakan yang difailkan pada 11 April lepas juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Jabatan Perhutanan untuk menutup Taman Rimba Ampang  yang merupakan akses utama untuk orang awam ke Hutan Simpanan Ampang untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan EKVE.
        
Mereka juga memohon deklarasi bahawa kebenaran, permit dan lesen yang diberikan oleh ketiga-tiga responden untuk kerja-kerja pembinaan dan/atau pembalakan bagi projek EKVE di Hutan Simpanan Ampang yang terletak dalam Taman Warisan Negeri adalah batal, tidak sah dan salah di sisi undang-undang.
    
Pemohon berkata Hutan Simpanan Ampang masih diwartakan sebagai hutan simpanan  kekal, aktiviti penebangan pokok dan pembalakan adalah melanggar undang-undang.
    
Mereka berkata sebarang aktiviti pembangunan juga akan menjejaskan bekalan air untuk keperluan penduduk di kawasan sekitar serta mengancam kepelbagaian biologi dan  keseimbangan ekosistem.
    
Projek EKVE adalah cadangan pembinaan lebuh raya bertol bagi menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana dan projek ini merentasi Hutan Simpanan Ampang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS