Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pencuci klinik dipenjara 8 bulan curi ubat batuk

Gara-gara ketagihan ubat batuk, seorang bekas tukang cuci klinik dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini kerani mencuri ubat itu pada 9 Mei lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Latib Abdul Majid, 43, selepas dia mengaku bersalah mencuri ubat batuk dan ubatan lain di klinik bekas majkannya di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia tangkap pada 9 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mencuri 65 botol ubat batuk jenis metadone, 220 biji ubat subaxone 8mg dan 130 biji ubat subaxone 2mg di Klinik Seri Bintang, Jalan Pudu pada 3 pagi 9 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dalam rayuannya, Abdul Latib yang tidak diwakili peguam berkata dia menggunakan sebahagian ubatan yang dicuri itu dan menjual selebihnya dengan harga yang murah.

"Saya merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf dan ketika kejadian berlaku, saya dalam keadaan gian melampau," katanya ketika rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Di mahkamah sama, pemandu teksi Mohd Najib Shahrim, 30, dihukum penjara enam bulan selepas mengaku salah memiliki motosikal curi.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 22 Mei lepas.

Mohd Najib dituduh memiliki motosikal curi itu di laluan motosikal Tol Sunway di Subang Jaya pada 6.30 petang 23 Mei lepas mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda.

Terdahulu, Mohd Najib yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atau denda namun, Nur Farah Adilah memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

-Bernama

Lihat Komen
ADS