Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NUJ bimbang pindaan CMA sekat media atas talian
Diterbitkan:  May 25, 2016 6:24 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia melahirkan kebimbangan mengenai cadangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) yang dikhuatiri menyekat peranan media atas talian dalam menyampaikan berita kepada masyarakat umum.

Dalam kenyataannya, majlis eksekutif kesatuan itu berkata, ini penting kerana media atas talian kini memainkan peranan lebih besar dalam menyalurkan berita.

"Sebarang usaha untuk mengetatkan kawalan dalam pelaporan berita secara atas talian bukan hanya menyekat kebebasan maklumat malah menidakkan hak demokratik rakyat negara ini," jelasnya.

NUJ Malaysia merupakan kesatuan sekerja yang memayungi kakitangan syarikat akhbar termasuk ribuan wartawan dari pelbagai surat khabar di Malaysia dalam pelbagai bahasa dengan jumlah keahlian mencecah ribuan ahli.

Buat masa ini, NUJ Malaysia belum melangkaui keahliannya kepada media-media atas talian yang kini turut menerima tempias daripada usaha sesetengah pihak untuk menyekat kebebasan media di negara ini.

Difahamkan, kesatuan itu sedang dalam usaha untuk menarik lebih ramai ahli dari media atas talian sejajar dengan perkembangan semasa yang menyaksikan media atas talian dikatakan lebih popular di kalangan pembaca di negara ini.

Mengulas lanjut, majlis tersebut menambah, cadangan pindaan akta tersebut akan turut melibatkan pendaftaran wajib penulis blog politik dan portal berita selain kenaikan dalam denda kesalahan di bawah CMA.

Cadangan pindaan itu juga belum dikongsi dengan banyak pihak antaranya badan hak asasi manusia, organisasi wartawan dan majlis peguam, jelasnya.

"Kekurangan dari segi ketelusan dalam proses ini adalah tidak demokratik dan melambangkan trend lebih besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh kerajaan dalam meminda undang-undang untuk mengetatkan lagi kawasan dalam kebebasan bersuara, yang sepatutnya dilindungi serta diperhebatkan," katanya.

Antara cadangan lain yang dikhuatiri oleh NUJ Malaysia ialah peluasan kuasa untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menutup kandungan atas talian tanpa pengawasan sewajarnya, ujar majlis itu.

"Justeru, kami menyeru kerajaan untuk tidak melakukan sebarang pindaan dalam akta tersebut sejajar dengan prinsip antarabangsa dalam kebebasan bersuara dalam amalan demokrasi yang ditatang selama ini," katanya.

Lihat Komen
ADS