Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Khir Toyo bebas esok selepas tempoh parol
Diterbitkan:  May 26, 2016 5:39 AM
Dikemaskini: 10:07 PM

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang menjalani tempoh parol selama dua bulan sejak Mac lepas, akan dibebaskan esok.
    
Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata Dr Mohamad Khir akan menandatangani dokumen pembebasannya di Pejabat Parol Daerah Klang pada 10 pagi esok.
    
"Mengikut tarikh pembebasan, Dr Mohamad Khir sepatutnya dibebaskan pada 29 Mei ini tetapi memandangkan ia jatuh pada hari cuti umum, kita akan bebaskan beliau pada 27 Mei ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang semalam.
    
Beliau berkata Dr Mohamad Khir turut mematuhi 41 syarat parol yang ditetapkan sepanjang menjalani perintah itu
    
"Dalam tempoh itu, Dr Mohamad Khir menjalani program intervensi iaitu menghadiri pelbagai program kemasyarakatan yang merupakan sebahagian daripada usaha membawa semula bekas banduan ke dalam masyarakat serta tidak melanggar mana-mana syarat yang dikenakan ke atasnya seperti melaporkan diri seminggu sekali di Pejabat Parol Daerah Klang.
    
Dr Mohamad Khir, 51, menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula 29 September 2015 setelah Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah menggunakan kedudukannya bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam untuk dirinya dan isteri yang bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta, di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
    
Beliau kemudian menjalani perintah parol bermula 29 Mac lepas setelah menjalani enam bulan hukuman penjara.
    
Dr Mohamad Khir yang merupakan Menteri Besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
    
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Jabatan Penjara tidak pernah memilih kasih dalam menentukan mana-mana banduan yang layak mendapat parol kerana perintah itu ditentukan oleh Lembaga Parol mengikut syarat yang ditetapkan.
    
Antara syarat itu ialah hukuman penjara yang dikenakan harus lebih daripada setahun serta kesalahan yang dilakukan bukan dalam kategori kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara 1995.
    
"Justeru itu, tidak timbul dakwaan mengatakan Jabatan Penjara pilih kasih. Saya berharap masyarakat faham bagaimana sistem parol ini berfungsi dan tidak mempolitikkannya," katanya.
     
Abdul Aziz berkata sejak sistem parol dilaksanakan pada 26 Julai 2008, seramai 13,160 banduan dibenarkan menjalani baki hukuman di luar penjara dengan 625 orang daripadanya sedang menjalani perintah itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS