Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: FPC setuju tubuh jawatankuasa teknikal risiko fiskal
Diterbitkan:  May 26, 2016 5:55 AM
Dikemaskini: 9:59 PM

Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Risiko Fiskal dan Liabiliti Luar Jangka yang akan dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Unit Perancang Ekonomi dan Unit Kerjasama Awam Swasta.
    
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menilai risiko fiskal dan liabiliti luar jangka Kerajaan Persekutuan serta mengesyor langkah untuk
menanganinya.
    
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kedua FPC yang diadakan semalam ini untuk meneliti kedudukan terkini fiskal negara.
    
Najib yang juga menteri kewangan berkata mesyuarat turut membincangkan 'Medium Term Fiscal Framework' untuk memastikan kedudukan kewangan dan keupayaan fiskal kekal kukuh.
    
Ekonomi negara telah berkembang 4.2 peratus pada suku pertama dan berupaya mencapai sasaran 4.0-4.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
    
Di samping itu, sasaran defisit fiskal 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2016 akan dapat dicapai.
    
"Mesyuarat turut meneliti status pelaksanaan langkah pengubahsuaian Bajet 2016 dan sehingga kini, pelaksanaan langkah tersebut adalah mengikut jadual dan prestasinya membanggakan," kata Najib.
    
Kerajaan sentiasa komited terhadap konsolidasi fiskal dan melaksanakan langkah mengoptimum perbelanjaan serta meningkatkan pematuhan cukai dan mempelbagaikan sumber hasil negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS