Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perbuatan sabotaj sistem myIMMs berlaku sejak 2010'
Diterbitkan:  May 26, 2016 10:36 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Kegiatan mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) di Jabatan Imigresen didapati berlaku sejak tahun 2010, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi.
    
Beliau berkata demikian semasa dihubungi Bernama semalam ketika diminta mengulas mengenai myIMMs yang dipercayai mempunyai unsur sabotaj seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lepas.
    
Sakib berkata: "Aktiviti mensabotaj sistem myIMMs berlaku semenjak 2010 dan telah sampai ke tahap yang serius yang memerlukan tindakan yang tegas."

Pihak imigresen telah mengenal pasti individu-individu yang terlibat namun siasatan masih diteruskan dan akan diumumkan apabila tiba masanya, katanya.
    
Tanpa mendedahkan jumlah individu yang terlibat dalam kegiatan itu, Sakib berkata Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi penjawat awam dan akta-akta yang bersesuaian sekiranya tindakan mereka didapati boleh menjejaskan keselamatan negara.
    
Beliau berkata Jabatan Imigresen bersama Polis Diraja Malaysia sedang bekerjasama menjalankan siasatan bagi membanteras aktiviti mensabotaj sistem myIMMs ini.
    
Selasa lepas, satu pasukan petugas yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim telah ditubuhkan untuk menyiasat pelaksanaan sistem myIMMs.
    
Alwi berkata pasukan itu kini dalam proses mengumpul dokumen berkaitan bagi mengenal pasti kelemahan pelaksanaan myIMMs.
    
Dalam LKAN 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas.
       
Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta telah dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS