Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: RUU hudud Hadi selari titah Agong
Diterbitkan:  May 27, 2016 12:48 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Naib Ketua, Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada  presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana merintis laluan kepada pelaksanaan hukum  hudud dengan berkata langkah itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Ia selari dengan titah Yang Di-Pertuan Agong untuk memperkasakan mahkamah Syariah pada bulan Mac yang lalu,” kata Khairil yang juga adalah Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Rang undang-undang Hadi muncul beberapa kali di kertas perintah Parlimen dan berjaya dibentangkan buat kali pertama semalam dengan sokongan daripada kerajaan.

Rang undang-undang persendirian itu sering dirujuk sebagai rang undang-undang hudud adalah khususnya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Buat masa ini, Akta 355 mengehadkan hukuman maksimun yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah denda RM5,000, penjara tiga tahun atau enam sebatan.

Pindaan itu bertujuan untuk meningkatkan had ini serta membuka jalan bagi pelaksanaan sebahagian daripada hukuman hudud, termasuk rotan sehingga 100 sebatan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam titahnya di Parlimen pada 7 Mac menggesa pengukuhan institusi agama dan peningkatan pentadbiran undang-undang Islam dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah.

Khairil berkata kejayaan pembentangan rang undang-undang itu adalah bukti komitmen PAS untuk menegakkan undang-undang syariah dan Islam, walaupun mendapat tentangan daripada beberapa pihak.

“Pemuda PAS yakin, usaha dan usul ini pasti akan mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak.

“Kami ingin menegaskan bahawa kami akan bersedia untuk membentengi PAS daripada tujahan pihak-pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pembentangan rang undang-undang adalah hasil perjuangan PAS lebih daripada 20 tahun.

Khairil berkata ia juga membuktikan tuduhan Parti Amanah Negara bahawa PAS hanya mempolitikkan isu hudud  adalah tidak benar dan bahawa parti itu konsisten dalam perjuangannya.

“Pemuda PAS juga mengingatkan beberapa ahli parlimen AMANAH  yang lantang mengkritik usaha ini agar berhati-hati dalam memberikan kenyataan termasuk di media sosial.

“Jangan kerana tidak puas hati, terus mempertikaikan usaha untuk memartabatkan syariah Islam di Malaysia. Dahulukan kepentingan Islam melebihi kepentingan politik yang sempit,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS