Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat media PRK Kuala Kangsar sedia makanan berbuka, sahur
Diterbitkan:  May 27, 2016 3:37 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Pusat media bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar akan menyediakan makanan berbuka puasa, moreh dan sahur untuk petugas media yang terlibat sepanjang PRK itu.
    
Pengarah Jabatan Penerangan Perak Razali Kidam berkata pusat media itu yang terletak di Hotel Ezi Inn, Jalan Tun Razak akan mula dibuka kepada petugas media mulai 1 Jun depan sehingga 20 Jun.
    
"Tiga khemah besar akan dibuka di perkarangan hotel untuk kemudahan petugas media menikmati jamuan buka puasa, moreh dan bersahur.
    
"Pusat media ini akan dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan dibuka dari pukul 8 pagi sehingga semua petugas media selesai menjalankan tugas," katanya ketika kepada Bernama di Kuala Kangsar hari ini.
    
Razali berkata selain menyedia dan menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan liputan media sepanjang kempen PRK itu yang akan bermula pada 5 Jun ini, pusat tersebut juga mempunyai pelbagai kemudahan kepada para petugas.
    
Katanya, antara kemudahan yang disediakan di pusat media itu adalah komputer dengan kemudahan Internet, jalur lebar, mesin fotostat, faks, pencetak dan mampu memuatkan kira-kira 30 hingga 40 petugas dalam satu-satu masa.
    
"Walaupun ruang pusat media ini agak kecil, namun kedudukannya berdekatan dengan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar," katanya.
    
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.
    
Turut terkorban ialah anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.
    
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS