Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Tamrin rujuk isu perlembagaan Akta Hasutan ditolak

Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini menolak permohonan bekas Anggota Parlimen Batu Berendam Mohd Tamrin Abdul Ghafar untuk merujuk isu perlembagaan berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Azwarnida Affandi berkata tiada keperluan untuk merujuk isu itu ke Mahkamah Tinggi kerana akta itu adalah berperlembagaan.

Beliau menetapkan 16 Jun ini untuk Mohd Tamrin, 66, membela diri terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di Kuala Lumpur, antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pada 10 Okt 2014, Mahkamah Sesyen memerintahkan dia membela diri terhadap pertuduhan itu. Bagaimanapun, pada 25 Nov 2014 Mohd Tamrin memfailkan permohonan itu.

Hakim itu berkata persoalan yang dibangkitkan oleh Mohd Tamrin telah dijawab oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes hasutan pensyarah Undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom.

Persoalan itu adalah sama ada Akta Hasutan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Akta itu bercanggah dengan Perkara 10, 8 dan 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 3(3) Akta Hasutan iaitu pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan niat dalam kes Akta Hasutan.

Mohd Tamrin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala Mohd Tamrin diwakili peguam Eric Paulsen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS