Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ABIM: Bincang 'RUU hudud' dengan semua pihak, termasuk bukan Islam
Diterbitkan:  May 28, 2016 12:07 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Wujud keperluan diadakan perbincangan yang mendalam terhadap Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan ini termasuk di kalangan bukan Islam.

"ABIM menuntut agar usul ini dapat dibincangkan serta dibahaskan secara mendalam dan terbuka ketika sesi persidangan Parlimen akan datang," kata Presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim.

Susulan daripada itu, katanya, ABIM juga menuntut agar sesi perbincangan secara telus dan berkesan diadakan dengan pelbagai pemegang kepentingan, termasuk dalam kalangan parti politik dan organisasi masyarakat sivil, termasuk di kalangan bukan Islam.

"Ini kerana ABIM berpandangan isu perundangan Islam adalah milik seluruh umat Islam dan bukan milik eksklusif mana-mana pihak sebagai agenda untuk memenuhi kepentingan politik kepartian yang bersifat musim-musiman," katanya dalam satu kenyataan.

Yang jelas, tegasnya, perkembangan ini pastinya akan memberi kesan besar merentasi kaum dan agama di Malaysia memandangkan proses ini bakal berhadapan pelbagai prosedur perundangan dan kerumitan teknikal perundangan yang hingga kini masih samar dan belum dijelaskan sebaik-baiknya.

"Justeru, ABIM menegaskan cita-cita pelaksanaan perundangan Islam ini harus diselarikan dengan prinsip Maqasid al Shari'ah dengan memastikan tujuannya menepati maksud sebenar pelaksanaannya iaitu menjamin keadilan kepada umat manusia.

"ABIM ingin memperingatkan semua pihak seandainya isu ini gagal di tangani secara serius dengan persediaan dan penjelasan yang rapi, bahkan hanya bersifat musim-musiman mengikut selera politik kepartian, mudah untuk menjangkakan bahawa polemik ini hanya akan menimbulkan pelbagai reaksi negatif, tohmahan dan salah faham terhadap Islam keseluruhannya," tegasnya.

RUU ini secara rasminya dinamakan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Ia juga popular disebut sebagai 'Rang Undang-Undang Hudud' kerana ia akhirnya akan membuka jalan bagi pelaksanaan sebahagian daripada kanun jenayah syariah, khususnya di Kelantan yang diterajui oleh PAS, yang sudah meluluskan enakmen yang bermaksud sedemikian.

Bagaimanapun, enakmen negeri Kelantan itu tidak boleh dilaksanakan selagi rintangan wujud dalam undang-undang persekutuan yang menghadkan kuasa hukuman di mahkamah syariah.

RUU yang dibentangkan oleh Hadi itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 yang menghadkan hukuman mahkamah syariah kepada denda maksimum RM5,000, tiga tahun penjara atau enam sebatan.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS