Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis ambil keterangan ADUN didakwa pukul pasangan kekasih

Polis Kedah telah mengambil keterangan seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa memukul seorang lelaki pada 15 Mei lepas.
   
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata ADUN terbabit telah memberi kenyataan pada malam Jumaat lepas dan mengakui berada di lokasi kejadian di hadapan sebuah kompleks membeli belah Aman Central, di Alor Setar.

Katanya melalui keterangan itu, ADUN terbabit menafikan bertindak memukul lelaki berkenaan bersama teman wanitanya seperti yang didakwa dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.  
    
"Kejadian tersebut lebih kepada salah faham antara kedua-dua pihak dan mungkin ada unsur tidak puas hati. Kita akan teruskan siasatan ini dan jika ADUN itu rasa dia difitnah, terpulang kepadanya untuk ambil tindakan selanjutnya.
    
Kita telah mengambil keterangan beberapa saksi kejadian dan akan mengambil keterangan teman wanita lelaki terbabit yang kini berada di ibu negara, bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
    
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang pada 15 Mei lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Alif Adam Mohd Munaim mendakwa dipukul oleh tiga individu termasuk seorang ADUN yang bertindak menariknya keluar dari kenderaan sebelum dipukul.
    
Dalam laman sosial Facebook, lelaki itu mendakwa teman wanitanya yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut turut dipukul sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
    
-Bernama

Lihat Komen
ADS