Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
La Nina tingkatkan risiko jangkitan denggi
Diterbitkan:  May 29, 2016 7:38 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Fenomena La Nina atau kejadian hujan berlebihan yang dijangka berlaku di negara ini mulai bulan depan hingga Oktober berkemungkinan meningkatkan lagi kes denggi.
    
Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dengan langkah pencegahan.
    
Dr Noor Hisham berkata pihaknya telah mengambil langkah seperti pemusnahan tempat pembiakan Aedes di kawasan hotspot di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang sejak April lalu.
    
Operasi itu akan dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan nyamuk Aedes tidak dapat membiak terutamanya ketika negara menghadapi musim hujan, lebih-lebih lagi dengan fenomena La Nina yang bakal berlaku.
    
Bercakap kepada Bernama, Dr Noor Hisham berkata satu kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor pada 2011 menunjukkan fenomena La Nina dan faktor hujan akan meningkatkan lagi risiko berlaku jangkitan denggi selepas seminggu berlaku hujan.
    
"Ada juga kajian yang mengaitkan hubungan antara fenomena La Nina dengan peningkatan kejadian demam denggi di negara lain.
    
"Sebagai contoh, satu kajian pada 2016 menunjukkan terdapat peningkatan yang signifikan dalam kes denggi di Filipina ketika fenomena La Nina berlaku di negara itu," katanya.
    
Fenomena La Nina dikaitkan dengan jumlah hujan yang melebihi kadar biasa serta episod hujan yang banyak dan berpanjangan akan meningkatkan pengumpulan air pada bekas yang boleh menakung air di kawasan sekitar seperti lubang pokok, daun, botol dan tayar, yang sesuai untuk pembiakan Aedes.
    
Bernama sebelum ini melaporkan fenomena La Nina yang terjadi apabila suhu permukaan laut berhampiran Khatulistiwa di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik berkurangan, dijangka melanda negara ini pada bulan depan sehingga Oktober.
    
Bagi meningkatkan keberkesanan langkah pencegahan, Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat supaya lebih peka dengan keadaan persekitaran tempat tinggal mereka dan memastikan tiada tempat pembiakan untuk nyamuk Aedes. 
    
"Luangkan hanya 10 minit seminggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes serta letak bahan pembunuh jentik-jentik atau temephos (Abate) ke dalam bekas takungan air seperti kolah dan alas pasu bunga," katanya.
    
Ketua Pengarah Kesihatan itu juga berkata Kementerian Kesihatan kini turut mengambil langkah kawalan yang baru iaitu teknik semburan dalam kawasan nyamuk Aedes iaitu Outdoor Residual Spray (ORS) yang sebelum ini masih dalam peringkat kajian.
    
"Biasanya, semburan asap di udara sekitar kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot denggi tetapi dengan menggunakan kaedah ORS, ia akan disembur pada dinding premis dan nyamuk akan mati apabila terkena ORS," katanya.
    
Bagi menangani masalah tempat pembiakan yang sukar ditemui atau dicapai di luar rumah, Dr Noor Hisham berkata operasi semburan kabus racun serangga berisipadu ultra rendah (ULV) akan dijalankan.
    
"Ini merangkumi semua kawasan hotspot demam denggi, khususnya di Lembah Klang setiap dua minggu sekali mulai minggu depan," katanya.
    
Sehingga 23 April lepas, statistik denggi terkini pada minggu ke-16 tahun ini menunjukkan terdapat pengurangan kes sebanyak 13.3 peratus di seluruh negara iaitu 1,607 kes berbanding 1,854 kes pada minggu sebelumnya. 
    
Hanya lima negeri yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 32 kes (25.2 peratus), Negeri Sembilan 10 kes (55.6 peratus), Kelantan 6 kes (14.6 peratus), Perlis 4 kes (100 peratus) dan Pahang 2 kes (6.5 peratus).

-Bernama

Lihat Komen
ADS