Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agenda 'Islam rahmat untuk semua' tetap utuh bagi AMANAH
Diterbitkan:  May 30, 2016 4:11 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Menjelang hari penamaan calon dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada hujung minggu ini, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyeru ahlinya agar terus berpegang kepada perjuangan tadbir urus yang baik.

Kejayaan amalan tersebut, jelas beliau yang lebih popular dengan panggilan Mat Sabu, akan menterjemahkan konsep 'Islam rahmat untuk semua' di alam realiti.

Dalam satu kenyataannya, Mat Sabu berkata, perkara yang baik, jika tujuannya disalahgunakan atau dikelirukan, maka ia akan membawa padah.

"Justeru, Maqasid Syariah perlu terus diperluaskan dan diperbincangkan sehingga ke peringkat perlaksanaan selain meyakini bahawa syariat Islam adalah satu perundangan yang dapat menyelesaikan masalah di antara manusia.

“Hari ini jutaan umat Islam menjadi pelarian di negara sendiri dengan tumpuan kepada tadbir urus baik tidak menjadi keutamaan masyarakat Islam seluruh dunia. Kejadian yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Syria, Somalia, Libya, Sudan dan beberapa negara lain hendaklah menjadi pengajaran kepada kita semua" katanya.

Menurut beliau, negara barat yang hancur akibat perang dunia pertama hingga perang dunia kedua, bangun semula di atas sifat tadbir urus baik dan akhirnya membawa mereka muncul membina negara dan masyarakat.

Walaupun tidak sempurna, tetapi keadaan mereka menjadi lebih baik sehingga umat Islam datang menumpang dan berteduh di negara mereka, katanya.

"Di Malaysia, soal tadbir urus baik makin jauh ke belakang. Sekarang Malaysia makin dihina kerana rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah. Kenapa rasuah tidak menjadi isu utama kepada umat Islam?" soal beliau.

Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang mungkin boleh didakwa di mahkamah jika kerajaan ingin melakukannya.

Kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor boleh didakwa di mahkamah jika pemerintah mahu berbuat demikian, katanya.

"Tetapi, bolehkah pihak pemerintah mendakwa Perdana Menteri yang mengaku menerima 2.6 bilion?

"Peguam Negara, polis dan SPRM menjadi mangsa sebelum tindakan dikenakan terhadap orang nombor satu negara itu," katanya.

Oleh itu, katanya, parti Amanah memperjuangkan bahawa tiada pilih kasih dalam perlaksanaan undang-undang sama ada terhadap golongan bangsawan, pemerintah, ataupun rakyat biasa.

Ia sesuai dengan Sabda Rasulullah bahawa; "Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah putri Muhammad mencuri niscaya aku memotong tangannya.” (Bukhari dan Muslim), katanya.

"Anggota Amanah jangan ragu atau terpanggil dengan seruan-seruan lain. Terus melaksanakan perjuangan 'Islam Rahmat Untuk Semua' dengan tadbir urus baik menjadi idaman kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS