Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sabitan rogol jurujual kekal, hukuman penjara dikurang

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan terhadap seorang jurujual yang didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan bawah umur, yang dikenalinya melalui laman Facebook.
    
Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada lapan tahun terhadap Khoo Kean Giap, 23, yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pada 7 Sept 2015. 
    
Beliau juga mengekalkan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen itu dan memerintahkan Khoo menjalani hukuman itu bermula hari ini.
    
Terdahulu, beliau menolak permohonan peguam R. Devadasan, yang mewakili Khoo, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan.
    
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap Khoo selepas mendapatinya bersalah terhadap pertuduhan merogol gadis berusia 13 tahun itu pada akhir kes pembelaan.
    
Khoo, yang mengenali mangsa menerusi laman sosial, didakwa merogol remaja itu di dalam bilik tidur sebuah pangsapuri mewah di Cheras pada 8 malam, Oktober 2012.
    
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas.

-Bernama
    

Lihat Komen
ADS