Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak menghalang mana-mana ahlinya untuk menjadi calon dalam dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan.

Bagaimanapun Annuar mengingatkan keahlian mereka akan gugur secara automatiknya apabila ia dilakukan untuk menentang calon BN sendiri.

“Semua orang mempunyai hak dalam perlembagaan. Kepada sesiapa yang nak bertanding pada mana-mana (pilihan raya) juga boleh, cuma dalam Umno kita ada peraturan, iaitu mana-mana ahli yang bertanding menentang calon (BN) maka keahliannya akan gugur secara automatik.

“Tetapi kita tidak menghalang siapa sahaja mahu bertanding,” kata Annuar ketika ditemui pemberita di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur sebentar tadi.  

Annuar mengulas kenyataan seorang ahli Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mengisytiharkan dirinya akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar 18 Jun  ini.

Dalam posting di Facebook, Syed Rosli berkata kedua-dua calon - dari BN dan PAS - bukan anak tempatan dari Kuala Kangsar.

"Saya selaku anak jati Kuala Kangsar berasakan kedua-dua calon PAS dan BN bukan anak tempatan.

“Ini sudah semestinya (mereka akan) gagal memahami apa kehendak dan keperluan rakyat Kuala Kangsar.

"Saya selaku ahli Umno berasa amat kecewa dengan kepimpinan parti kerana gagal meletakkan calon yang jauh lebih layak daripada (Datin) Mastura (Mohd Yazid) yang dicalonkan," kata Syed Rosli merujuk kepada balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Pilihan raya kecil Kuala Kangsar terpaksa diadakan apabila penyandangnya, Wan Khair-il Anuar meninggal dunia pada 5 Mei lalu dalam kemalangan helikopter menjelang pilihan raya Sarawak.

Turut terbunuh anggota parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon.

Jika hasrat Syed Rosli untuk bertanding menjadi kenyataan, pilihan raya kecil Kuala Kangsar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Setakat ini, Mastura sah akan berdepan dengan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Calon PAS dari Pasir Kubu di Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak, itu berkelulusan ijazah perubatan dan pembedahan, pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

Pakatan Harapan pula dijangka mengumumkan calonnya pada 2 Jun iaitu tiga hari sebelum penamaan calon pada Ahad, 5 Jun ini.

Lihat Komen
ADS