Paling Popular
Terkini

Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan akar umbi parti Islam itu supaya berpegang teguh dengan dasar dan kepimpinan ulama.

Menurut beliau, perkara yang mesti dipertahankan seluruh pemuda PAS adalah gagasan kepimpinan ulama yang dirintis kepimpinan terdahulu.

"Gagasan ini bukanlah yang bermusim, ia merupakan tunjang yang menjaga dasar perjuangan PAS selama ini dan menentukan hala tuju serta prospek masa depan PAS.

"Kepimpinan ulama adalah DNA yang menjadikan PAS sebuah gerakan Islam yang unik dan istimewa dibandingkan gerakan Islam yang lainn pada mata pengkaji hari ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) ke -57, di Kota Bharu hari ini.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, sudah tiba saatnya gagasan tersebut diarus perdanakan dalam kalangan ahli akar umbi.

"Mengarus perdanakan gagasan ini dengan maksud menggiatkan pembudayaan ilmu dalam kalangan ahli di peringkat cawangan, masjid sehingga ke dewan kuliah.

"Dasar-dasar PAS dan polisi-polisi nega‎ra mesti dibincangkan serta difahami dengan baik.

"Ini selaras dengan persediaan pemuda PAS menjadi galang ganti kepada perjuangan PAS masa akan datang," katanya.

Justeru tambah beliau, pemuda PAS mesti terus berada di saf hadapan daalm mempertahankan gagasan tersebut sejajar dengan perjuangan parti sebagai gerakan dan parti Islam.

"Andai setiap daripada kita baik golongan ulama, profesional mahu pun aktivis menjiwai gagasan besar ini, kita yakin apa jua keputusan kepimpinan dan cabaran dihadapkan kepada PAS kita akan harungi penuh gagah dan bijak.

"Kita mesti garapkan gagasan ini sesuai dengan pendekatan politik yang diambil PAS supaya kemenagan yang diidamkan didakap dengan konsisten terhadap prinsip perjuang Islam," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS