Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Banjir lumpur bukan disebabkan pembakaran hutan
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 6:55 AM
Dikemaskini: Jun 1, 2016 12:27 PM

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini menafikan kegiatan pembalakan hutan merupakan punca berlakunya banjir lumpur di Kampung Brinchang, Cameron Highlands, Ahad lepas.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan berkenaan sebaliknya, kesan eksploitasi penanaman sayur pada 2013 yang menyebabkan tepian Gunung Brinchang menjadi lembut sehingga mudah dihanyutkan ke sungai.

Pada masa kejadian, katanya, hujan lebat turun sehingga mencecah 92 milimeter selama tiga jam, sekali gus menjadi punca utama berlakunya banjir lumpur.

"Hujan lebat sedemikian tidak pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun ini. Jadi, apa yang berlaku ialah air hujan turun dari Gunung Brinchang ke kawasan ulu Sungai Bertam yang tidak dapat menampung kapasiti pengaliran air itu di samping serpihan pokok lama yang dihanyutkan sekali," katanya kepada pemberita di ibunegara semalam.

Beliau berkata sekiranya hujan seperti itu berulang, banjir lumpur mungkin berlaku lagi di kawasan berkenaan.

Wan Junaidi berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat kajian di sekitar kawasan kampung yang terlibat dengan banjir kilat dan lumpur di Cameron Highlands.

Jabatan Pengaliran dan Saliran pula diarahkan membuat kajian berkaitan mendalamkan sungai dan beberapa perkara lain, katanya.

Mengenai tumpahan minyak di perairan Pulau Pinang pada Jumaat lepas, beliau berkata JAS telah menggerakkan pelan luar jangka bagi menangani insiden itu yang dipercayai berpunca daripada kapal minyak.

"Sampel minyak juga telah diambil daripada kapal berkenaan," katanya sambil memberitahu Ketua Pengarah JAS diminta melihat kembali aspek undang-undang berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak pentadbir dermaga dan kapal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS