Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunggang aksi Superman, 2 sahabat dipenjara 5 hari
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 7:20 AM
Dikemaskini: 11:23 PM

Aksi Superman dua sahabat ketika menunggang motosikal, mengundang hukuman masing-masing penjara empat hari dan
denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas pembantu mekanik, Jamaluddin Osman, 21, dan pembantu jurujual, Muhammad Ikmal Rustam Efendy, 21, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman itu mulai semalam dan jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara tiga bulan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka hilang kelayakan mendapatkan lesen selama dua tahun serta lesen L bagi Muhammad Ikmal dibatalkan.

Jamaluddin dan Muhammad Ikmal, masing-masing didakwa menunggang motosikal jenis Suzuki Smash warna merah dan Honda EX5 warna hitam secara berbahaya dengan aksi ala Superman, mengangkat kedua-dua kaki lurus kebelakang
yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.40 pagi di Lebuh Raya Duta - Ulu Klang (DUKE) pada 29 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, Ops Samseng Jalanraya telah ternampak kedua-dua tertuduh menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, apabila mereka berhenti di lampu isyarat, persimpangan Batu Caves.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

Mereka yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya hukuman diringankan kerana mereka daripada keluarga susah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS