Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Nan: 'Jika benar bertanding, dia akan dipecat'
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 7:31 AM
Dikemaskini: Jun 1, 2016 2:25 AM

Mana-mana ahli Umno yang menjadi calon, pencadang atau penyokong parti pembangkang dalam pilihan raya akan dipecat, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, perkara itu telah pun termaktub dalam perlembagaan Umno dan tindakan tegas serta-merta akan diambil kepada ahli parti yang menentang Umno.

Tengku Adnan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tindakan anggota Pemuda Umno Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mengumumkam di media sosial bahawa beliau akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Syed Rosli berkata, beliau kecewa dengan keputusan Barisan Nasional (BN) berhubung pemilihan calon.

Syed Rosli, adalah penolong setiausaha Pemuda Umno cawangan Taman Cempaka.

"Jika benar dia (Syed Rosli) bertanding dia akan dipecat... Kita tunggu sahaja 5 Jun ini (tarikh penamaan calon)," kata Tengku Adnan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bercakap kepada media selepas menyerahkan sumbangan Nur Ramadan kepada 52 surau sekitar Putrajaya serta Taklimat Bantuan Asnaf Putrajaya di Putrajaya malam tadi.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calonnya pada PRK itu.

PRK itu diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Hari mengundi PRK tersebut yang diadakan serentak dengan PRK Sungai Besar ialah 18 Jun.

Sementara itu, pergerakan Puteri Umno sentiasa memberi fokus kepada keperluan wanita berumur di bawah 40 tahun dalam usaha membela nasib golongan itu, dan bukannya hanya ketika PRK.

Ketua pergerakan itu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya memberi perhatian kepada isu pembangunan ekonomi dan sosial dalam kalangan wanita muda cuba menyelesaikan masalah yang berbangkit di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Festival Makan Durian di George Town semalam, beliau berkata jentera Puteri yang digerakkan untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga memberi tumpuan kepada kalangan pengundi muda.

"Saya minta seluruh anggota, penyokong dan jentera BN bersatu hati untuk mengekalkan kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya.

Ditanya mengenai Datin Mastura Mohd Yazid, yang dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Mas Ermieyati berkata kempen boleh dilakukan walaupun tanpa kehadirannya berikutan masih dalam edah selepas kematian suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut terkorban dalam manas tersebut ialah Anggota Parlimen Sungai Besar Selangor Datuk Noriah Kasnon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun manakala penamaan calon pada 5 Jun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS