Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribut melanda Lembah Klang, hujan batu di Bukit Jalil, Sg Besi
Diterbitkan:  Jun 3, 2016 8:25 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Kejadian ribut dan angin kencang di kawasan Lembah Klang petang ini menyebabkan kerosakan kepada bangunan dan kesesakan lalulintas di lebuh raya utama.

Beberapa pengguna Twitter melaporkan ribut hujan batu berlaku di Bukit Jalil dan di kawasan Sungai Besi di mana ketulan ais mengenai bangunan.

Sekurang-kurangnya bumbung sebuah stesen minyak dan sebuah bangunan pejabat runtuh.

Laporan trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Twitter juga menyenaraikan sekurang-kurangnya enam lokasi di mana pokok tumbang akibat angin kencang.

Ia berlaku di sepanjang Jalan Kinabalu ke Jalan Maharajalela, jalan susur keluar di Jalan Tun Razak, sepanjang lebuh raya Bukit Jalil berhampiran Taman Teknologi Malaysia, Alam Damai, Desa Tasik, Bukit Damansara dan Sri Permaisuri.

Sementara itu, Bernama melaporkan, DBKL menerima aduan sebanyak 35 kes pokok tumbang di sekitar ibu kota.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mustafa Mohd Nor berkata skuad penyelamat dan tren tunda telah dikerah bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Selain itu beberapa jalan utama iaitu Jalan Duta, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 arah Tasik Bandar Selatan, Jalan Genting Klang dan Taman Melati, Gombak turut dilapor terjejas.

Menurutnya seramai 82 anggota pasukan Skuad Penyelamat DBKL telah dikerah ke semua lokasi tumpuan yang terjejas akibat banjir kilat.

"Daripada jumlah itu, 50 petugas trafik diarah mengawal keadaan trafik, 20 lagi menyelamat mangsa yang terkandas manakala 12 ditugas mengendali kren tunda," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata terdapat kejadian tiang elektrik tumbang di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Bukit Jalil sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja mengalihkan tiang itu sedang dijalankan selain kawalan trafik dilakukan pihak polis.

Sementara itu warga ibu kota yang kebanyakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah turut berkongsi pengalaman masing-masing dan gambar kejadian melalui media sosial.

Pengguna Twitter, 'faiqrusyaidie' menulis 'first time ever experiencing hujan batu...'.

Seorang lagi pengguna Twitter, 'dayahmayah' turut berkongsi gambar dengan menulis, 'MashaAllah. hujan batu at my sister's office. Area Sg Besi. Praying and hoping that everyone's fine,'.

'First hujan batu experience ever. Literally soaked for almost 20 minutes,', tulis pengguna Twitter 'FazaaMohamad'.

Pengguna Facebook 'Shahriza Mahmud', dalam pada itu turut berkongsi rakaman video kejadian berkenaan yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Serdang.

Lihat Komen
ADS