Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengelak ketika ditanya sama ada beliau akan berkempen dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, atau mendedahkan parti mana yang akan disokong.

Sebaliknya beliau berkata 'mungkin' akan berkempen dalam pilihan raya kecil berkenaan dan akan menyokong mana-mana parti yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat.

"Saya mungkin. Jika saya diminta, saya akan pergi. Saya sokong penuh calon yang menandatangani deklarasi itu. Saya tidak akan sokong calon yang tidak (Menandatanganinya).

"Saya tidak berada dalam mana-mana parti. Saya bukan di dalam Umno kerana tiada lagi Umno. Ia cuma parti Najib, jadi itu sebab mengapa saya tinggalkan parti Najib.

"Saya tidak berkempen untuk AMANAH. Saya berkempen untuk calon yang percaya dengan deklarasi itu," katanya ketika ditanya pemberita di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mahathir berkata PAS tidak menyokong deklarasi berkenaan.

"Kalau PAS tandatangan, saya akan sokong mereka juga, tapi parti itu tidak tandatangan," katanya.

Kempen PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar bermula hari ini, dengan hari pembuangan undi ditetapkan pada 18 Jun.

Sebelum ini bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir bersedia berkempen untuk AMANAH dalam dua pilihan raya itu. 

Mahathir adalah tonggak utama di sebalik Deklarasi Rakyat yang dirangka selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai kumpulan dan individu, termasuk anggota pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil.

Turut hadir dalam majlis pelancarannya termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu. Namun Mustafa dan PAS berkata kehadiran itu adalah atas kapasiti peribadi.

Deklarasi itu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan daripada pejabatnya melalui proses demokrasi. Ia menjadi kontroversi kerana sesetengah aktivis dan ahli politik mempersoalkan kerjasama dengan individu yang didakwa pernah melemahkan institusi di Malaysia.

Lihat Komen
ADS