Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
IGP: PDRM cadang ambil keterangan Huckle
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 2:06 PM
Dikemaskini: Jun 10, 2016 4:40 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang mengambil keterangan dari pesalah pedofil Richard Huckle bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa kegiatannya di Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM berharap dapat mengambil keterangan itu dalam tempoh terdekat.

"Saya cadang untuk memohon supaya pegawai PDRM dapat ambil keterangan Huckle dalam penjara untuk mendapatkan butiran mangsa.

"Permohonan akan dibuat secepat mungkin tetapi kami perlu ada laporan polis dari mangsa yang terlibat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad ke-81 di ibunegara hari ini.

Khalid berkata setakat ini tiada keluarga atau mangsa yang datang membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Oleh kerana kes berkenaan telah selesai, saya harap pihak berkuasa Britain tidak lokek untuk berkongsi maklumat.

"Kalau setakat beritahu polis orang yang disyaki terlibat dalam pedofil, apa boleh kami buat. Oleh sebab itu kami tidak dapat kenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat," katanya.

Khalid berkata dalam menangani kes itu ia perlu mendapatkan kerjasama mangsa dan keluarga mangsa.

"Dalam hal ini tidak perlu malu atau sorok apa jua perkara. Anak kita jadi mangsa jenayah sedemikian, jika tidak tampil kita akan gagal tangani perbuatan terkutuk ini.

"Mungkin selepas ini akan ada badan bukan kerajaan tampil kepada polis untuk memberi maklumat kes itu," katanya.

Khalid berkata selain permohonan untuk mengambil keterangan Huckle, PDRM juga akan membuat permohonan untuk mengekstradisi Huckle ke negara ini.

Beliau berkata PDRM mengalami sedikit kesulitan untuk memperoleh maklumat lanjut dan kerjasama daripada pihak berkuasa Britain.

"Pada awalnya polis hanya dimaklumkan tentang Huckle pada tahun 2014, tapi tiada maklumat lanjut diberi dan mereka hanya memaklumkan bahawa Huckle disyaki terlibat dalam kegiatan pedofil.

"Sejak itu polis berusaha untuk dapatkan maklumat lanjut dari mereka (pihak berkuasa Britain) tapi kononnya kes mereka dalam perbicaraan dan mereka tidak beri maklumat lanjut. Bila sudah berlaku (perkembangan kes) ini, barulah timbul
pelbagai persoalan," katanya.

Beliau berkata apabila kes itu dibicarakan baru PDRM tahu bahawa 23 mangsa disyaki warga tempatan turut terlibat.

"Setakat ini dua mangsa sudah dikesan terlibat dan polis akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Britain untuk kenal pasti mangsa lain" kata Khalid.

Ditanya sama ada pihak polis memantau sekiranya terdapat pedofil tempatan yang dikesan di negara ini, beliau berkata polis memberi perhatian kepada perkara itu.

"Hasil pemantauan yang dijalankan, kami hanya mendapati ramai individu kebanyakannya terlibat memiliki gambar lucah dan tindakan itu akan diambil berterusan untuk bawa mereka ke mahkamah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS