Paling Popular
Terkini

Tubuhkan pasukan petugas khas peringkat tertinggi untuk menangani jenayah penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas mengenai isu tindakan kejam dilakukan penjenayah pedofil British Richard Huckle yang mencetuskan kemarahan orang ramai, beliau mencadangkan agar pasukan tersebut merangkumi wakil Polis Diraja Malaysia, Perkhidmatan CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, agensi-agensi kerajaan berkaitan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Pasukan petugas itu perlu bekerjasama rapat dengan negara luar memandangkan jenayah pedofilia kini merentasi sempadan ke seluruh pelosok dunia melalui internet dan pelbagai bentuk teknologi maklumat masa kini,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang menegaskan bahawa kerajaan harus bertindak pantas dalam mengesan kegiatan pelaku pedofil percaya kerjasama rapat dengan pihak berkuasa di luar negara amat penting terutamanya dalam usaha mengesan jenayah seumpama itu yang banyak berlaku dan meluas dalam dunia siber yang sukar dikesan.

Dengan cara itu, tambah beliau, kita dapat mengenal pasti mangsa dan keluarga terbabit lebih cepat dan dapat segera menyediakan pelbagai bantuan sewajarnya serta menawarkan khidmat kauseling untuk mangsa terutamanya dalam menangani trauma berikutan kejadian itu.

Lee, yang merupakan naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, berkata pihak berkuasa negara kini menghadapi satu tugas amat mencabar untuk mengenal pasti dan membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa Huckle memandangkan jenayah itu dilakukan antara 2006 dan 2014, selain tiada laporan polis dibuat terhadapnya setakat ini.

Berkongsi maklumat

Huckle, 30 - yang digambarkan oleh media British sebagai salah seorang pelaku pedofil paling teruk di Britain - dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di London pada Isnin atas kesalahan melakukan jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak serta bayi Malaysia dan Kemboja berusia enam bulan hingga 12 tahun selama hampir sedekad. Dia dijatuhi hukuman 25 tahun penjara.

Polis British percaya bahawa Huckle telah mencabul sehingga 200 kanak-kanak, kebanyakannya daripada masyarakat miskin termasuk di Kuala Lumpur.

Pada Mei tahun lepas, negara dikejutkan dengan berita Nur Fitri Azmeer Nordin, 23 - penuntut jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah di London setelah didapati bersalah memiliki ribuan video dan gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej "Kategori A" yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Menegaskan bahawa pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan kanak-kanak tidak sepatutnya didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental atau seksual, Lee berkata masyarakat dan pihak berkuasa di seluruh dunia perlu bekerjasama untuk melindungi anak-anak mereka.

Oleh itu tambah beliau, adalah penting bagi agensi-agensi penguatkuasaan di seluruh dunia untuk berkongsi hasil risikan mengenai pedofil.

"Jika maklumat tersebut tidak dikongsi, keadaan akan menjadi sukar untuk menangkap pelaku atau memberikan bantuan kepada mangsa. Jika banyak negara boleh berkongsi maklumat mengenai aktiviti keganasan dan jenayah rentas sempadan, sudah tentu tiada masalah untuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti pedofil," katanya.

Lee turut menggesa agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan Daftar Pelaku Jenayah terhadap kanak-kanak sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2015.

Beliau berkata terdapat keperluan segera bagi Malaysia untuk mempunyai pangkalan data mengenai pesalah yang telah melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak supaya dapat memberi peringatan kepada orang ramai.

"Dengan cara itu, penjenayah tidak akan dibenarkan berada dekat dengan kanak-kanak. Adalah penting untuk menyimpan maklumat-maklumat tersebut memandangkan betapa mudahnya pelaku pedofil boleh mempunyai akses dengan kanak-kanak melalui internet pada masa ini," katanya.

Tambahnya, masyarakat dan majikan perlu lebih serius mempertimbangkan untuk menjalankan pemeriksaan latar belakang sebarang individu yang diperlukan untuk berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak.

Seks luar tabii

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata lazimnya individu yang mempunyai ciri-ciri pedofilia menyukai hubungan seksual songsang.

Beliau berkata hubungan fizikal melibatkan pelaku pedofilia biasanya berlaku secara tidak sengaja ke atas kanak-kanak melalui sentuhan seperti ciuman atau pelukan.

“Tetapi, apabila sentuhan itu mula melampaui sehingga meraba ke bahagian alat sulit kanak-kanak berkenaan, pelaku akan terangsang dan akan bertindak mencabul atau merogol kanak-kanak itu,” katanya sambil menambah bahawa beberapa pelaku pedofil juga mungkin sampai ke tahap membunuh kanak-kanak yang menjadi mangsanya.

Mohamed Fadzil berkata pelaku pedofil bukan dari golongan yang bijak berkata-kata manis atau gemar memberi pujian kepada kanak-kanak kerana bimbang perbuatannya akan mudah dikesan dan dihidu oleh masyarakat sekeliling.

Ibu bapa, tambah beliau, juga boleh memainkan peranan penting dalam mengenal pasti jika seseorang itu adalah pelaku pedofil dengan memberi lebih perhatian terhadap aktiviti anak-anak, sentiasa mengawasi gerak-geri dan memantau keberadaan mereka.

"Kebiasaannya pelaku pedofilia memilih kanak-kanak yang dikenalinya (pelaku pedofil), maka ibu bapa jangan ambil mudah jika wujud 'hubungan luar biasa' antara seseorang dengan anak-anak mereka. Kenal pasti sikap dan sentuhan
individu kerana lazimnya ibu bapa akan beranggapan sentuhan fizikal seseorang itu sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan sedangkan ia adalah ancaman yang menjurus kepada pedofil," katanya.

Isu sensitif

Ibu kepada tiga orang anak, Rukzanora Hassan, 34, berkata pedofilia adalah ibarat mimpi ngeri bagi mana-mana ibu bapa kerana "kita tidak tahu siapa di antara kita yang menjadi pelakunya".

Berpendapat bahawa pelaku pedofil sepatutnya dikenakan hukuman yang sangat berat, beliau berkata ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati dengan orang sekeliling termasuk ahli keluarga sendiri yang mendekati anak-anak mereka.

Rukzanora, yang mempunyai tiga anak lelaki berusia antara dua dan tujuh tahun, berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya berani bersuara sekiranya dibuli atau didera oleh "salah seorang daripada pelaku jenayah seksual ".

- Bernama

Lihat Komen
ADS