Paling Popular
Terkini

Pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menafikan beliau hadir pada sidang akhbar Setiausaha Agung PKR, Rafi Ramli berhubung pendedahan penggunaan jet peribadi kerajaan atas arahan Datin Seri Rosmah.

Sebaliknya, katanya, kehadirannya itu adalah inisiatif sendiri dan isteri perdana menteri itu tidak dimaklumkan akan perkara tersebut.

“Tidak, atas inisiatif saya sendiri. Saya belum memaklumkan kerana saya bercadang akan maklumkan kepada beliau selepas ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu isteri perdana menteri ketika ini sedih dan kecewa berhubung tohmahan berterusan pihak pembangkang sepanjang Ramadan ini.

Rizal juga sekali lagi menegaskan Rosmah tidak tahu mengenai segala urusan penerbangannya ke Istanbul, Turki bagi menerima ‘Anugerah Kebajikan Kanak-kanak 3G’ bagi pihak PERMATA.

“Saya rasa dia (Rosmah) sedih dan kecewa kerana apa yang dilakukan nampaknya serba tidak kena pada hal apa yang dibuat sebagai contoh segala urusan pesawat pegawai yang uruskan beliau tidak tahu dan hanya bawa diri.

“Tapi segala sasaran kena pada dia. Tapi beliau maklum akan perkara itu namun tidak boleh buat apa, masyarakat telah dididik dengan politik yang membenci.

“Dia selalu pesan kepada kami kita ini buat kerja baik dan kalau orang tak nak hargai pun tak apa sekurang-kurangnya kita ada Allah Taala untuk menilai,” katanya.

Rizal (atas, kanan) hari ini yang hadir di Kuala Kangsar untuk mendengar pendedahan terbaru PKR ke atas Rosmah dihalang daripada berbuat demikian.

“Saya bukan nak lakukan tindakan luar jangka. Saya hanya nak duduk dan kalau tak boleh duduk pun saya akan berdiri serta keluarkan buku nota saya untuk catit.

“Itu sahaja, kenapa dia tak benarkan saya masuk saya pun tak faham,” kata Rizal kepada Malaysiakini.

Rafizi sejak Rabu lalu berterusan mendedahkan Rosmah menggunakan pesawat peribadi sewa khas kerajaan untuk ke Istanbul.

Dakwanya, anggaran sekitar RM86.4 juta dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyewa jet peribadi Airbus ACJ319 selama untuk dua bulan yang digunakan Rosmah itu.

Beliau kemudian berkongsi video dua minit yang kononnya menunjukkan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menaiki pesawat milik Emirates Airline dengan pegawainya membawa puluhan beg ke dalam pesawat.

Ahli Parlimen Pandan itu turut seterusnya mempersoalkan jumlah pegawai yang mengiringi Rosmah, kandungan beg berkenaan serta mengapa ia tidak diletakkan di kawasan bagasi tetapi terpaksa diangkut sendiri ke dalam pesawat berkenaan.

Semua tuduhan itu sebelum ini telah dijawap oleh Rizal.

Lihat Komen
ADS