JIM: Siarkan senarai nama syarikat dan jenama halal dalam media

Kerajaan disarankan supaya menyiarkan dalam media massa senarai institusi atau jenama barangan yang telah diberi sijil halal dan kebenaran menggunakan logo halal, beserta maklumat yang cukup untuk rujukan pengguna yang mahu memberi barangan mereka.

Ketika membuat gesaan itu, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berkata pihaknya juga menyokong saranan supaya barangan halal hanya dikeluarkan oleh orang Islam atau syarikat yang mempunyai rakan kongsi atau pengarah dari kalangan orang Islam.

"Ini memandangkan pemahaman masyarakat bukan Islam mengenai makanan haram ini amat terbatas. Lagipun keprihatinan mereka memastikan produk dan proses pengilangan benar-benar halal, tidak sama dengan rasa tanggungjawab orang Islam," kata Presiden JIM, Zaid Kamaruddin.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas pembongkaran kegiatan penyalahgunaan logo halal dalam serbuan ke dua kilang sosej di Selayang yang memproses sosej menggunakan usus babi.

"JIM juga berpandangan, isu persijilan dan kebenaran menggunakan logo halal ini lebih daripada setakat menandakan ia boleh dimakan oleh Islam," katanya dalam satu kenyataan.

"Sebaliknya, penerangan yang meluas berdasarkan kajian, perlu dibuat agar logo halal itu menjadi tanda kualiti yang tinggi. JIM yakin Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) boleh memainkan peranan ini," tambahnya.

Katanya, umat Islam kini diselubungi kekhuatiran dan kerajaan, selepas pihak media mendedahkan kilang berkenaan menjadi pembekal kepada 56 pasaraya dan hotel terkemuka di Lembah Klang.

Pengusaha tidak sensitif

"Butiran nama produk, pasaraya dan hotel tidak dimaklumkan. Ini langsung tidak mengambilkira kepentingan penggguna," katanya.

Berikutan itu, katanya, JIM menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera dan bersungguh-sungguh untuk menanggani isu ini.

"Jika kerajaan tidak boleh menjamin makanan yang benar-benar halal dibungkus menggunakan label halalnya, maka bagaimana kita boleh meyakinkan rakyat negara lain dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal," katanya.

Sementara itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat menyifatkan perbuatan menggunakan tanda halal pada sosej yang diperbuat daripada usus babi sebagai keterlaluan kerana jelas pengusahanya tidak sensitif kepada pengguna Islam.

Sehubungan itu, Exconya Zarerah Hanim Zaki mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya menarik segera semua produk yang diragui dari pasaran tempatan.

"Kami berpendapat isu sosej haram ini amat memalukan dan menunjukkan kelemahan penguatkuasaan terhadap makanan halal," katanya.

Di samping itu, katanya, umat Islam perlu berhati-hati dan mengelak daripada membeli produk atau memasuki restoran yang meragukan.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.