Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid ingatkan penjawat awam hukuman Ilahi jika bocor rahsia

Dalam semangat Ramadan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi beberapa nasihat kepada para penjawat awam.

Semasa majlis berbuka puasa di kediaman rasminya di Putrajaya sebentar tadi, Ahmad Zahid mengingatkan penjawat awam mengenai hukuman dari Ilahi buat mereka yang membocor rahsia kerajaan.

Beliau, bagaimanapun, berkata terdapat undang-undang untuk memastikan mereka tidak berbuat demikian.

"...Jika ada di kalangan kita yg mungkin ada perasaan utk membocorkan atau berkongsi rahsia semasa kalangan kita atau dengan pihak luar, undang-undang tetap ada iaitu Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi ia hanya selembar perundangan.

"Sebagaimana puasa, undang-undang ada, tetapi penguat kuasanya adalah diri kita sendiri," kata timbalan perdana menteri itu yang sedang mengalami sakit tekak.

Oleh itu, Zahid berkata, undang-undang hanya bertindak sebagai panduan dan orang ramai tidak perlu undang-undang jika mereka sendiri boleh 'menguat kuasakan diri'.

Tambah beliau, orang Islam menyebut nama Allah Taala apabila mereka mengangkat sumpah.

"Untuk orang Islam, Wallahi, sumpah yang menggunakan nama Allah Taala dan kalau kita melanggar, Allah wakil, saksi, dan ini dikhuatiri akan jatuh kepada sumpah laknat di mana Allah akan memberikan laknat kepada kita.

"Jadi sebelum laknat itu datang daripada Allah Taala, saya ingatkan diri saya sendiri dan kepada semua pegawai-pegawai kerajaan supaya menjaga kerahsiaan kerana itulah sumpah kita sebagai pegawai kerajaan," tambahnya.

Beliau yang juga menteri dalam negeri, bagaimanapun, cepat-cepat menafikan itu adalah suatu amaran.

"Ini bukan satu amaran, sekadar saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua kerana inilah madrasah Ramadan yg harus kita hayati agar kebaikan-kebaikan ini dapat diteruskan dan mudah-mudahan kita dapat latihan dengan pertahan diri dan kawalan diri," jelasnya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS