Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis sedang menyiasat hubungan antara Good Star Ltd dan hartawan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Itu adalah sebahagian daripada siasatan kami," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang akhbar di Ampang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis akan membuat tindakan susulan berikutan laporan The Wall Street Journal (WSJ) bahawa Jho Low merupakan pemilik tunggal Good Star.

Reuters juga mengesahkan pemilikan Low dengan seorang pegawai yang dilaporkan mempunyai pengetahuan mengenai siasatan kawal selia.

Sebahagian daripada AS$1.03 bilion daripada 1MDB telah dialihkan ke dalam Good Star pada tahun 2009, apabila syarikat dana pelaburan negara itu menjalankan perniagaan dengan PetroSaudi International.

Status pemilikan Good Star adalah penting kerana ia akan menentukan sama ada dana 1MDB telah disalurkan keluar atau digunakan untuk pelaburan.

Kerajaan telah menegaskan bahawa Good Star adalah sebuah anak syarikat PSI, manakala Jho Low menafikan hubungannya dengan Good Star.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin turut menafikan laporan WSJ yang memetik surat Bank Negara bahawa Jho Low memiliki Good Star.

Hasan berkata, ini kerana Bank Negara telah menyatakan bahawa maklumat yang diberikan kepada PAC adalah bertaraf 'risikan'.

Lihat Komen
ADS