Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak ada kem Azmin, kem Rafizi dalam PKR'
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 12:30 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Bertentangan dengan spekulasi keretakan yang semakin teruk, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menafikan kewujudan puak yang menyokong beliau atau Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli.

Beliau berkata tidak ada perkara seperti "kem Azmin" atau "kem Rafizi" dalam PKR.

Menolak dakwaan itu, menteri besar Selangor itu berkata, PKR menerima orang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza.

"PKR adalah unik, ahli-ahli dan pemimpinnya adalah dari latar belakang yang berbeza.

"Ada yang telah menyertai parti lain sebelum ini, ada yang pertama kali menyertai sebuah parti politik dan ada yang mempunyai latar belakang NGO.

"Kami menghormati perbezaan pendapat dalam parti, ini adalah kekuatan kita," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Oriental Daily News.

Azmin juga memberi maklum balas berhubung laporan Rafizi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan wujud permintaan wang dan wanita ketika berurusan dengan kerajaan Selangor.

Menteri besar itu berikrar kerjasama penuh kerajaan negeri dengan pihak berkuasa.

"Tiada apa-apa yang hendak disembunyikan, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Kami juga tidak menghukum mereka yang membuat aduan. Ini kerana kami adalah terbuka dan bersedia menerima kritikan di bawah sistem demokrasi," katanya.

Dalam Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Azmin menafikan ia mendahului gerakan Reformasi yang dimulakan oleh mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun beberapa pemimpin PKR terlibat dalam Deklarasi Rakyat, ini tidak akan mengabaikan agenda reformasi bagi memulakan pembaharuan sebenar, katanya.

Berhubung surat pedas Anwar dari penjara mengenai bahaya bekerja dengan Mahathir, Azmin berkata ia adalah perkara biasa bagi ketua umum PKR untuk mengemukakan pendapat dan cadangan kepada pemimpin parti.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata surat itu adalah untuk edaran dalaman dan bukan untuk tatapan umum.

"Dalam surat itu, Anwar berkata, tidak ada masalah dengan pemimpin-pemimpin parti menyertai Deklarasi Rakyat. Beliau juga tidak menghentikannya, tetapi sekadar memberi cadangan dan peringatan.

"Apa yang Anwar tekankan bahawa kita tidak harus lupa agenda reformasi selepas menyertai deklarasi ini," katanya.

Lihat Komen
ADS