Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zairil: Wajibkah Mahathir, KM Sarawak juga diperangi?
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari mempersoalkan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang melabelkan DAP dan mana-mana umat Islam yang bekerjasama dengan parti itu sebagai kafir harbi yang wajib ditentang.

Katanya, kenyataan itu amat bahaya dan semata-mata bermotif politik kerana pelaksanaan hukum hudud yang dibentangkan oleh PAS itu bukan hanya dikritik oleh DAP tetapi juga sekutu BN sendiri.

“... (ini) termasuk presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, serta Nancy Shukri yang merupakan menteri di jabatan perdana menteri.

“Demikian juga dengan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA yang jauh lebih lantang menolak pelaksanaan hudud. Mengapa tiada sebarang kecaman dan ugutan untuk diperangi terhadap mereka ini?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malahan, kata Zairil, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga melihat hudud yang dijuarai PAS sebagai taktik politik semata-mata, dan tidak melihat adanya keperluan melaksanakan undang-undang berkenaan.

“Apakah beliau (Mahathir) juga wajib diperangi? soalnya.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, hari ini memetik Abdul Rahman berkata hukum bagi mana-mana umat Islam yang bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Mengikut takrifan, kafir harbi adalah hukuman yang berat kerana mereka ini sampai ke tahap boleh dibunuh.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga adalah penolong setiausaha publisiti DAP mempersoalkan sama ada mufti itu ingin bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap pemimpin atau ahli DAP.

“Kenyataan yang sebegini melampau dan melulu ini seolah-olah mengiyakan ugutan keganasan terhadap warga dan pihak berkuasa Malaysia yang dibuat oleh militan IS yang tersebar baru-baru ini,” katanya.

Selasa lalu, menerusi video propaganda militan Negara Islam (IS) seorang rakyat Malaysia yang sedang berperang di Syria menggesa penyokong rangkaian pengganas itu untuk menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh orang-orang kafir.

"Bunuhlah mereka di mana sahaja kalian ketemu mereka... Kalian punya kenderaan langgarlah mereka...

"Kalian punya senjata atau pisau kecil, tikamlah dada-dada mereka," katanya, sambil menambah bahawa dia dan rakan-rakannya di Syria akan memberi mereka sokongan dari jauh.

Zairil seterus menjelaskan bahawa DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan hudud dalam konteks hukum Islam.

Katanya, kritikan terhadap undang-undang hudud yang cuba dilaksanakan oleh PAS adalah tertumpu kepada pelaksanaannya memandangkan sifat masyarakat Malaysia yang majmuk dan kecelaruan yang wujud dari segi Perlembagaan Persekutuan.

“Malangnya, pendirian ini diputar belit sehingga dijadikan alasan untuk melabelkan DAP sebagai anti-Islam.

“Mufti sepatutnya mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Malangnya, beliau (Abdul rahman) langsung tidak menyuarakan pendapat mengenai skandal bauksit di Kuantan atau penarahan Cameron Highlands secara berleluasa, walaupun jelas skandal-skandal ini terhasil daripada kerakusan dan kepincangan yang nyata oleh pemerintah,” katanya.

Sebaliknya, menurut Zairil, mufti itu sanggup bersikap takfiri dan mengundang keganasan melalui tohmahan bahaya dan bermotifkan politik semata-mata untuk menghalalkan politik zalim pemerintah.

Lihat Komen
ADS